suria

Pemusnahan Hasil Daripada Kreativiti Manusia...

IA telah berlaku dan bakal memusnahkan satu industri yang sekian lama dikatakan boleh bertahan. Laporan dari Washington DC Khamis lalu membuktikan apa yang diramal oleh para analisis dan pemerhati kini telah menjadi kenyataan - gedung-gedung buku tradisional mula menderita akibat daripada peralihan minat pembaca kepada buku elektronik dan jualan melalui internet.

Di Amerika kini, semua mata tertumpu ke arah bagaimanakah rangkaian gedung-gedung buku terkemuka seperti Kumpulan Borders akan berhadapan dengan cabaran ini dan sama ada ia mampu bertahan dan jika ia sekali pun, untuk berapa lama lagi.

Kumpulan Borders yang memiliki tidak kurang dari 500 rangkaian gedung buku di seluruh Amerika mengumumkan pada penghujung bulan lalu yang ia terpaksa menangguhkan pembayaran kepada para vendornya, pemilik premis dan juga pelanggan-pelanggan tetapnya sementara menunggu langkah segera untuk menyusun semula hutang-hutangnya akibat jualan yang semakin menurun.

Krisis yang dialami oleh Borders ini terlebih dahulu dirasai oleh gedung buku terbesar Amerika, iaitu Kumpulan Barnes & Noble, yang awal-awal lagi memberi indikasi yang ia sedang menimbang opsyen sama ada untuk menjual perniagaan tersebut kepada mana-mana pihak yang berminat.

Dalam Persidangan Buku Digital yang berlangsung di New York baru-baru ini, penganjur persidangan itu Mike Shatzkin dipetik sebagai berkata, perubahan yang memusnahkan ini telah melanda industri buku di seluruh dunia dan pada masa yang sama seluruh dunia juga sedang memerhati bagaimanakah gedung-gedung besar di Amerika bertindak dalam menangani masalah ini dan apa yang perlu dilakukan sebagai persiapan menghadapinya.

Internet bukan sekadar menawarkan harga yang rendah malah kini boleh menawarkan perkhidmatan menjual buku secara digital menggunakan kemudahan Amazon Kindle dan Apple iPad.

Jualan buku elektronik misalnya telah meningkat dua kali ganda sejak tiga tahun yang lalu, kata Shatzkin lagi. Dan untuk tahun-tahun yang mendatang, beliau meramalkan penguasaan gedung-gedung buku tradisional akan menguncup dari 72 peratus kepada hanya 25 peratus daripada keseluruhan jualan buku iaitu penurunan sehingga dua pertiga.

Dalam erti kata yang lain, ia sama lah seperti gedung-gedung buku tradisional ini kehilangan sehingga 90 peratus ruang petak buku dalam tempoh 10 tahun akan datang kepada buku elektronik dan juga kepada jualan buku cetak menerusi internet. Amerika bakal menyaksikan kehilangan lebih 1,200 gedung buku besar di seluruh negara itu sehingga kepada 150 buah sahaja, ramal Shatzkin dalam satu temu bual email dengan agensi berita antarabangsa AFP baru-baru ini.

Pada masa yang sama, Amazon.com mendedahkan bulan lalu, ia kini menjual lebih banyak buku Kindle daripada buku-buku paperback iaitu 115 buku elektronik untuk setiap 100 buku paperback di pasaran Amerika. Dalam konteks ini, menurut Shatzkin, gedung-gedung buku kehilangan pelanggan dalam dua cara iaitu kepada buku elektronik dan juga buku cetak yang dijual secara online.

"Jualan buku cetak secara online kini telah menguasai 25 peratus dari hasil jualan buku cetak keseluruhannya dan jualan buku elektronik pula kini telah menguasai 10 peratus daripada pasaran buku cetak," ujarnya lagi.

Situasi ini diparahkan lagi oleh satu kajian yang menunjukkan, lima peratus rakyat Amerika kini memiliki alat peranti buku elektronik. Ini belum diambil kira lagi trend terkini yang menyaksikan telefon pintar juga telah disediakan dengan kemudahan yang sama.

Forrester Research, iaitu sebuah pusat penyelidikan Amerika mendapati, rakyat Amerika kini membelanjakan lebih kurang ASD$1 bilion untuk memuat turunkan buku elektronik pada tahun 2010 dan pasaran untuk buku elektronik kini semakin diterima ramai.

Menurut Forrester lagi, kumpulan pengguna buku elektronik yang kecil tetapi semakin membesar ini akan berkembang secara pesat sehinggakan mereka dengan mudah akan membelanjakan sejumlah ASD$3 bilion untuk membeli buku elektronik menjelang tahun 2015 nanti. Penganalisis menyifatkan kos yang rendah dan kemudahan yang disediakan menerusi aplikasi membeli buku secara muat turun turut merencat industri tradisional iaitu gedung-gedung buku.

"Inilah yang dinamakan pemusnahan hasil daripada kreativiti manusia,” kata pemenang hadiah Nobel, Gary Becker.

Artikel Lain