suria

PAS Akan Pastikan Kempen PRK DUN Merlimau Dalam Suasana Harmoni

JASIN: PAS akan bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan kempen pilihan raya kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka kawasan Merlimau berjalan baik dalam suasana harmoni.

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berkata PAS yang bakal meletakkan calon bertanding pada pilihan raya kecil itu, berharap akan wujud suatu keadaan di mana orang ramai tidak perlu risau dengan suasana berkempen dan pengundi merasa selesa untuk keluar mengundi pada 6 Mac ini.

"Saya mangambil kesempatan ini menyatakan bahawa kita bersedia untuk berkempen, bertarung di sini dengan cara sihat, dengan cara demokratik," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Markas Induk PAS bagi pilihan raya kecil itu oleh Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Merlimau dekat sini, pada Sabtu.

Salahuddin berkata harapan parti itu berdasarkan kepada suasana pilihan raya kecil kerusi DUN Johor kawasan Tenang pada 30 Jan lepas yang berlangsung dengan baik tanpa berlaku insiden yang tidak diingini.

Ditanya adakah PAS akan meletakkan calon wanita pada pilihan raya kecil DUN Merlimau, beliau berkata "Itu satu kemungkinan sebab saya pun belum lagi melihat senarai nama calon".

Beliau berkata nama calon PAS akan diumumkan di Merlimau dalam beberapa hari lagi.

Kerusi DUN Merlimau kosong berikutan kematian penyandangnya daripada barisan Nasional (BN) Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, 54, pada 20 Jan lepas akibat serangan jantung.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 Feb ini sebagai tarikh penamaan calon manakala pengundian pada 6 Mac jika ada pertandingan. - BERNAMA

Artikel Lain