suria

Nasihat Jakim Elak Sambut Hari Valentine Hanya Untuk Umat Islam - Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata nasihat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) supaya orang ramai menjauhi acara bertemakan sambutan Hari Kekasih atau Valentine Day Isnin ini, hanya ditujukan untuk masyarakat Islam.

Timbalan Perdana Menteri berharap isu ini tidak menimbulkan kekeliruan dan perasaan curiga antara kaum di negara ini kerana dari sudut Islam sambutan itu tidak sesuai diraikan oleh umat Islam.

"Nasihat itu adalah untuk memberitahu bahawa dari sudut agama Islam ia (sambutan Hari Kekasih) tidak sesuai, tetapi ia tidak bermakna kita hendak merendah-rendahkan Hari Kekasih atau tidak menghormati kaum lain," katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan mesranya terhadap perkhidmatan awam di Kuala Lumpur, Sabtu.

Beliau berkata: "Ada amalan yang mungkin dianggap orang lain sesuai tetapi dalam Islam tidak sesuai kerana ada amalan dan kaitan sejarahnya itu tidak sesuai bagi masyarakat Islam. Saya harap perkara ini tidak menjadi perkara yang boleh menimbulkan perasaan curiga."

Muhyiddin berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abd Aziz semalam yang menasihatkan orang ramai khususnya yang beragama Islam supaya menjauhi sebarang acara atau majlis yang bertemakan sambutan Hari Kekasih bagi mengelakkan mereka terlibat dengan gejala maksiat.

Terdapat beberapa versi sejarah sambutan Hari Kekasih, termasuk yang dikaitkan dengan pesta sambutan Rom kuno sebelum kedatangan agama Kristian yang dinamakan Lupercalia, kisah mubaligh Kristian Saint Valentine dan juga sempena musim mengawan burung pada 14 Februari.

Bersandarkan beberapa hujah yang jelas, Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia pada 2005 telah memutuskan bahawa sambutan Hari Kekasih adalah haram bagi seluruh umat Islam.

Menyentuh mengenai tindakan Pemuda PAS mengadakan kempen 'bebas dosa' sempena Hari Kekasih di keempat-empat negeri di bawah pentadbiran PAS-DAP-PKR pada Ahad dan Isnin ini, Muhyiddin berkata tindakan itu agak keterlaluan.

"Sebagai orang Islam, kita tekankan nasihat. Jangan sentuh perasaan lain-lain kaum yang sudah jadikan sambutan ini amalan mereka", katanya.

Beliau berkata tindakan itu hanya akan menimbulkan rasa tidak puas hati sesetengah pihak yang mungkin merasa ada pihak yang mahu mengekang aktiviti mereka.

Cadangan Pemuda PAS itu bagaimanapun ditolak beberapa pihak dalam parti, termasuk PAS Selangor yang menyifatkan kempen seumpamanya tidak perlu dikhaskan pada hari tertentu sahaja.

Sementara itu pada majlis yang sama, Naib Presiden MCA yang juga Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha ketika diminta mengulas isu itu berkata, Hari Valentine janganlah dikaitkan dengan mana-mana agama.

"Sambutan Hari Valentine ialah hanya untuk mengukuhkan hubungan dan bukan semestinya di kalangan pasangan muda tetapi juga yang telah berkahwin dan sudah lama berkahwin.

"Majlis makan malam Valentine diadakan di kawasan pilihan raya saya yang dianjurkan oleh pelbagai pertubuhan dan ia tidak ada kaitan dengan sebarang agama," katanya.

Beliau juga menghapuskan keraguan bahawa dakwaan Hari Valentine sentiasa dikaitkan dengan aktiviti maksiat dan menambah kelakuan tidak bermoral berlaku pada bila-bila masa sahaja. - BERNAMA

Artikel Lain