suria

Mulai Mei, Gurdwara Dibenar Hantar Guru Agama Ke PLKN

KUALA LUMPUR: Mulai Mei ini, Gurdwara dibenarkan menghantar guru agama untuk mengajar pelatih Sikh di pusat Latihan Khidmat Negara, kata Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Datuk Abdul Hadi Awang Kechil.

Beliau berkata keputusan ini dicapai dalam pertemuan antara jabatan itu dengan Majlis Gurdwara Malaysia (MGC) di pejabatnya di sini, Jumaat.

Bagaimanapun pihaknya akan mengadakan lagi pertemuan dengan majlis itu untuk membincangkan perkara tersebut dengan lebih terperinci.

Kemasukan siri kedua Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) untuk tahun ini bermula 1 Mei.

Bercakap kepada Bernama di sini pada Sabtu Abdul Hadi berkata JLKN tidak akan membiayai sebarang kos untuk pengajaran tersebut jika bilangan pelatih beragama Sikh kurang daripada 15 orang di sesebuah kem.

"Bagaimanapun sekiranya ibu bapa ingin membiayai kos pengajaran guru agama itu untuk kem yang mempunyai kurang dari 15 pelatih Sikh, kita tidak mempunyai masalah sebaliknya mengalu-alukannya," katanya.

Beliau juga berkata pada sesi pengambilan PLKN yang akan datang, JLKN akan menempatkan pelatih beragama Sikh di kem-kem berdekatan Gurdwara bagi memudahkan mereka beribadah.

Abdul Hadi juga menyarankan pertubuhan belia kaum Sikh menganjurkan program menarik minat lebih ramai kaum itu menyertai program PLKN serta melibatkan bekas belia Sikh yang telah menjalani PLKN dalam program mereka.

Artikel Lain