suria

MKN Bawa Penuntut Pulang Meskipun Ops Piramid Berakhir Jumaat

KUALA LUMPUR: Majlis Keselamatan Negara (MKN) masih meneruskan tugas membawa pulang rakyat dan penuntut Malaysia di negara bergolak, Mesir meskipun Ops Piramid telah berakhir pada Jumaat.

Jurucakap bilik gerakan MKN berkata mereka bertanggungjawab untuk memastikan rakyat dan penuntut Malaysia yang ingin pulang ke tanah air, tiba dengan selamat serta memantau mereka yang lain yang enggan pulang.

"Masih ada rakyat dan penuntut yang akan pulang ke tanah air melalui penerbangan komersial dan ada yang akan mendarat di lapangan terbang negara lain seperti di Changi, Singapura dan Jakarta, Indonesia pada hari ini dan esok," katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Jurucakap Wisma Putra pula berkata terdapat 2,044 rakyat dan penuntut Malaysia daripada 7,392 orang yang dipindahkan ke Jeddah, Arab Saudi yang enggan pulang ke tanah air dan memilih untuk tinggal di negara itu buat sementara waktu.

Beliau berkata seramai 1,010 orang dalam empat penerbangan lagi akan tiba di tanah air dan lapangan terbang di Jakarta, Indonesia pada Ahad, menjadikan kesemua 5,348 rakyat dan penuntut Malaysia telah selamat dikeluarkan dari Mesir.

Artikel Lain