suria

Kelonggaran Saman JPJ Kurang Sambutan

KUCHING: Kelonggaran untuk menyelesaikan saman yang beri oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sehingga 28 Feb ini kurang mendapat sambutan apabila hanya 11.78 peratus daripada 692,803 saman yang tertunggak diselesaikan.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Solah Mat Hassan berkata tindakan senarai hitam dan mata demerit akan diaktifkan semula selepas tempoh penangguhan tamat 1 Mac ini.

"Selepas tempoh itu mereka yang mempunyai saman tertunggak tidak akan dibenar memperbabarui lesen kenderaan motor dan memandu sehingga semua saman diselesaikan," katanya pada sidang media di sini pada Sabtu.

Terdahulu Solah menyaksikan penyerahan tugas kepada pengarah JPJ Sarawak Ibrahim Othman yang menggantikan Abdul Hamid Akop.

Solah berkata daripada sejumlah 4.7 juta pemilik kenderaan yang disenarai hitam di seluruh negara, 13,931 adalah dari Sarawak.

Orang ramai boleh menyemak rekod senarai hitam mereka melalui laman web JPJ di www.jpj.gov.my, perkhidmatan MYEG atau kaunter JPJ yang berdekatan. - BERNAMA

Artikel Lain