suria

Kedutaan Malaysia Di Kaherah Terus Pantau Keadaan Di Mesir

KUALA LUMPUR: Kedutaan Malaysia di Kaherah akan terus memantau keadaan di Mesir biarpun Presiden Hosni Mubarak telah mengumumkan untuk meletak jawatan pada Jumaat.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata sehingga hari ini seramai 1,584 rakyat Malaysia masih menunggu untuk dibawa pulang ke tanah air dari Jeddah.

Kementerian Luar memaklumkan bahawa rakyat Malaysia yang masih berada di Mesir berada dalam keadaan selamat dan menjangkakan proses membawa pulang kumpulan terakhir seramai 574 orang akan berakhir Isnin depan.

Sementara itu, Kementerian Luar berkata Malaysia mengalu-alukan keputusan Presiden Hosni Mubarak meletak jawatan seperti yang dikehendaki rakyat Mesir.

Kenyataan itu berkata Malaysia juga mengalu-alukan penyerahan kuasa kepada Majlis Tertinggi Angkatan Tentera yang akan membawa kepada satu peralihan damai ke arah pemerintahan demokrasi dan kestabilan di Mesir.

Selepas 18 hari tunjuk perasaan besar-besaran rakyat menuntut Presiden Mesir itu berundur, Hosni akhirnya akur dan melepaskan jawatan yang dipegangnya selama 30 tahun, pada Jumaat. - BERNAMA

Artikel Lain