suria

Kecekapan Juruterbang Wanita TUDM Selamatkan Pesawat C-130 Dalam Ops Piramid

SUBANG: Kecekapan seorang juruterbang wanita Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengemudi pesawat yang sarat dengan penumpang terdiri daripada rakyat Malaysia di Mesir ketika ribut pasir melanda,telah menyelamatkan mereka daripada sebarang insiden yang tidak diingini.

Komander TUDM C-130, Mejar Roslin Faradilah Rosman terpaksa melencong dari laluan asal penerbangan mereka akibat kejadian tersebut.

Menceritakan pengalaman mendebarkan apabila dilanda ribut pasir di ruang udara Abu Dhabi, Roslin Faradilah, satu-satunya juruterbang wanita yang ditugaskan mengendalikan pesawat C-130 dalam misi Ops Piramid berkata, beliau terpaksa membuat keputusan untuk melencong dari laluan ke Jeddah, Arab Saudi dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Al-Ain, Abu Dhabi.

"Keadaan ketika itu amat dahsyat, tidak nampak apa yang ada di hadapan, justeru kami terpaksa lencongkan laluan ke (Lapangan Terbang Antarabangsa) Al-Ain sehingga keadaan cuaca pulih," katanya.

Roslin Faradilah berkata, beliau menerbangkan pesawat sebanyak dua kali perjalanan pergi dan balik Mesir-Jeddah dan setiap perjalanan ulang-alik itu mengambil masa antara enam hingga 10 jam termasuk mengisi minyak.

"Sekali terbang, kami membawa keluar 200 pelajar. Keadaan sangat sempit dan menjadi cabaran pada juruterbang untuk menerbangkan pesawat kerana keadaan pesawat yang berat," katanya yang baru mendirikan rumah tangga pada Oktober tahun lepas.

Beliau berkata, situasi yang dihadapi itu bagaimanapun bukanlah kali pertama dalam hidupnya sebagai seorang juruterbang kerana beliau pernah berhadapan dengan cabaran lebih getir ketika bertugas membawa pesawat ke Pakistan dan Filipina.

Ketua Misi Ops Piramid ATM, Kolonel Abdul Mutalib Ab Wahab pula berkata, semua anggota dan pegawai terutamanya juruterbang yang membawa pesawat C-130, berulang alik dari Mesir ke Jeddah, melebihi daripada jadual bertugas yang ditetapkan.

"Kita kerja tanpa henti selama 24 jam, sebab itu kita dapat keluarkan ramai pelajar dan rakyat kita dari Mesir dan kalau kita ikut jadual operasi, tidak mungkin kita boleh membawa keluar rakyat Malaysia dengan cepat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pangkalan Udara TUDM Subang di sini.

Abdul Mutalib berkata, walaupun mereka tidak mendapat rehat secukupnya, itu tidak mematahkan semangat semua yang terlibat untuk terus bertugas mengeluarkan rakyat Malaysia dari Mesir.

"Mereka terbang setiap jam...ada yang terbang seawal 2 pagi, kadang-kadang pukul 6 pagi maka selagi pesawat itu berjalan, selagi itu kita terus bekerja setiap masa," katanya.

Sementara itu, seorang lagi juruterbang C-130 TUDM, Mejar Baharin Mohamad berkata, dia berasa bersyukur kerana segalanya berjalan lancar dan dianugerahkan ahli keluarga yang memahami tugasnya sebagai anggota tentera.

"Kebanyakan mereka sudah faham dengan tugas kami sebagai anak kapal C-130 di mana selalunya kami biasa mendapat tugas mengejut di saat akhir," katanya.

Seorang penuntut tahun tiga pengajian Usuluddin di Universiti Al-Azhar, Kaherah, Ahmad Shahir Shapie, 24, sanggup mengabaikan keselamatan dirinya sendiri untuk menyelamatkan rakan-rakannya yang lain.

"Demi membantu sahabat senegara, saya keluar pergi ke kediaman para pelajar yang tinggal berhampiran dengan kawasan rusuhan, bagi mengeluarkan mereka dengan menaiki kereta milik saya ke tempat yang selamat," katanya.

Tambah beliau lagi, ketika itu, keadaan di sekitar Mesir sangat getir dengan kawalan ketat polis dan mereka yang terlibat dalam demontrasi turut bertindak menahan orang awam yang melintasi di hadapan mereka.

"Saya mengeluarkan rakan-rakan ketika keadaan tidak terlalu kritikal ke lokasi yang lebih selamat dan jauh dari tempat rusuhan.

"Memang menakutkan keadaan ketika itu, tambahan dengan kawalan ketat dari polis dan pendemonstrasi yang turut menahan orang awam yang lalu-lalang," katanya.

Bagi Ahmad Farhan Selamat, 21, penuntut tahun satu pengajian Ulum Islamiah Universiti Al-Azhar, beliau gembira kerana dapat pulang ke tanah air dengan selamat walaupun terpaksa melalui perjalanan selama 20 jam menaiki pesawat C-130 dari Jeddah.

Katanya, pesawat TUDM berkenaan mendarat di tiga lapangan terbang sepanjang perjalanan pulang.

"Kali pertama pesawat mendarat adalah di Lapangan Terbang Antarabangsa Abu Dhabi kemudian di Lapangan Terbang Antarabangsa Al Ain dan terakhir di Lapangan Terbang Maldives sebelum mendarat di Pangkalan TUDM Subang," katanya.

Artikel Lain