suria

JPJ N.Sembilan Nasihat Orang Ramai Elak Guna Khidmat Orang Tengah

SEREMBAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan menasihatkan orang ramai yang berurusan dengan Bahagian Kejuruteraan Automatif jabatan itu supaya tidak menggunakan 'orang tengah' bagi mengelak dikenakan caj yang tidak sepatutnya.

Pemangku pengarah JPJ negeri Saifulnur Saad berkata terdapat orang awam yang mendakwa 'orang tengah' mengenakan caj perkhidmatan sehingga RM300 bagi urusan tertentu termasuk permohonan penukaran enjin kenderaan sebagai upah untuk mereka, dan lebih dikesali memberitahu kadar itu ditetapkan JPJ.

"Semua itu percuma dan tiada bayaran dikenakan. Sehubungan itu orang ramai digalakkan berurusan secara langsung di kaunter pejabat JPJ negeri di sini," katanya di sini pada Sabtu.

Beliau berkata pemilik kenderaan mungkin memilih menggunakan khidmat 'orang tengah' kerana menganggap cara itu lebih mudah daripada hadir sendiri di Ibu Pejabat JPJ Putrajaya.

"Sebenarnya, mereka tidak perlu ke Putrajaya kerana penyerahan dan kelulusan permohonan terutama di bawah Bahagian Kejuruteraan Automotif boleh dilakukan di pejabat JPJ negeri di sini.

Saifulnur berkata hanya permohonan yang dikategori sebagai kritikal seperti penukaran gandar dan membuka bengkel berdaftar yang perlu dihantar ke Ibu Pejabat JPJ Putrajaya.

Beliau berkata kelulusan permohonan mengambil masa tiga hingga lima hari bagi pengubahsuaian biasa dan dua minggu bagi penukaran panel struktur kenderaan terbabit kemalangan.

Mereka yang mempunyai pertanyaan boleh menghubungi Bahagian Kejuruteraan Automatif JPJ Negeri Sembilan di talian 06-6752231 atau 06-6752235, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain