suria

Tiga Perompak Larikan Lapan Dulang Emas Bernilai RM600,000

TEMERLOH: Tiga perompak bersenjatakan pistol melarikan lapan dulang emas bernilai kira-kira RM600,000 dari sebuah kedai emas di Lurah Semantan di sini, tengah hari Jumaat.

Salah seorang daripada mangsa yang hanya ingin dikenali sebagi Woon, 30an berkata, dua perompak berkenaan telah menyerbu masuk ke dalam kedai pada kira-kira pukul 1.50 tengah hari dan salah seorang daripadanya telah mengacukan pistol kepada mangsa.

Semasa kejadian itu, katanya, beliau hanya bersama tiga pekerja lain berada di dalam kedai berkenaan yang tidak berpelanggan sebelum perompak terbabit mengarahkan mereka berdiam diri sebelum suspek bertindak mengambil dulang-dulang berisi emas yang besar dan memasukkan ke dalam guni.

"Kurang daripada 10 minit (perompak mengaut dulang berisi emas itu), mereka melarikan diri dengan sebuah kereta yang dipandu oleh seorang lagi perompak yang menunggu di dalam kereta," katanya.

Katanya, dia hanya mampu melihat kumpulan perompak itu melarikan diri dan menjerit meminta bantuan orang ramai sebaik suspek beredar dari situ.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Temerloh Asisten Komisioner Mohd Nor Mansor ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

"Siasatan awal mendapati dua daripada perompak yang memasuki kedai emas itu, berbadan gempal.

"Kedai emas yang dirompak juga didapati mempunyai sistem kamera litar tertutup (CCTV) dan cakera rakaman berkenaan telah dihantar ke balai polis untuk siasatan lanjut," katanya.

Katanya sehingga kini siasatan berhubung kejadian itu masih dijalankan dan beliau meminta saksi yang menyaksikan kejadian itu tampil membantu polis dengan menghubungi balai terdekat. - BERNAMA

Artikel Lain