Sultan Johor Murka Tindakan Sembahyang Dua Imam Semasa PRK Tenang - Semasa | mStar

Sultan Johor Murka Tindakan Sembahyang Dua Imam Semasa PRK Tenang

KOTA TINGGI: Sultan Johor Sultan Ibrahim murka dengan tindakan sekumpulan umat Islam yang bersembahyang dua imam di sebuah masjid, ketika pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang bulan lepas.

Perbuatan tersebut, titah baginda amat dikesali dan tidak seharusnya berlaku hanya kerana perbezaan fahaman politik.

"Ketika kempen PRK DUN Tenang baru-baru ini, ada kumpulan yang singgah di masjid untuk sembahyang fardu tetapi malangnya mereka tidak menyertai jemaah yang sedang bersolat jemaah.

"Kalau mereka terlambat mereka hanya perlu sertai jemaah yang ada dengan berimamkan imam di masjid itu. Sebaliknya kumpulan ini telah membentuk satu sembahyang jemaah yang lain di barisan belakang, sedangkan solat jemaah yang ada masih belum selesai," titah baginda.

Sultan Ibrahim bertitah perkara seperti itu harus dihentikan agar tidak timbul fitnah umat Islam di Johor telah berpecah-belah dan tidak bersatu-padu.

"Semua jemaah dalam masjid hendaklah hormati imam yang dilantik oleh saya. Tidak ada perbezaan bangsa, kedudukan atau fahaman politik dalam masjid.

"Kedudukan atau fahaman politik tidak harus ada dalam masjid kerana kita menyembah tuhan yang sama iaitu Allah yang Maha Esa," titah baginda selepas menunaikan Solat Jumaat di Masjid Al-Hadi Kampung Makam, di sini, Jumaat.

Baginda sebelum itu merasmikan masjid tersebut yang bernilai RM2.1 juta dan siap pada Julai 2007. Hadir sama Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman, Penasihat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) Datuk Nooh Gadot dan exco-exco kerajaan negeri.

Dalam titah itu, Sultan Ibrahim turut mengingatkan umat Islam di Johor agar tidak menjadikan masjid sebagai medan berpolitik atau tempat memecah-belahkan masyarakat.

Baginda seterusnya menitahkan pihak berwajib mengenakan tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang didapati berbuat demikian.

Pada masa yang sama, Sultan Ibrahim mengingatkan umat Islam supaya menjaga kebersihan masjid dan tidak menyerahkan tanggungjawab itu kepada pihak pengurusan masjid semata-mata.

Baginda juga tidak mahu pihak pengurusan masjid menambah atau membina bangunan baru sesuka hati di kawasan masjid melainkan dengan kebenaran dan kelulusan Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) terlebih dahulu.

Titah baginda langkah itu bagi mengelakkan sebarang kecacatan dan pembangunan yang tidak sistematik. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030... ketahui suara dan harapan rakyat

RAKYAT menantikan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 yang dapat memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat.

default image

WKB 2030 fokus 9 kumpulan terpinggir, ketahui siapa mereka

PENGURUSAN polariti dalam WKB 2030 mengenal pasti sembilan kumpulan sasaran sebagai golongan terpinggir.

default image

WKB 2030: Ke arah masa depan rakyat dan negara yang lebih cerah

WAWASAN ini menjamin kemakmuran dan kekayaan akan dinikmati bersama tanpa mengabaikan tanggungjawab membela masyarakat bandar dan desa yang berpendapatan rendah serta miskin.

default image

Putrajaya... tak kenal maka tak cinta

PUTRAJAYA dibina atas sebuah impian. Dan berdasarkan beberapa pertimbangan, ia merupakan lokasi impian untuk didiami.

default image

Culas bayar cukai kena penalti 300 peratus, ketahui 10 fakta penting Program Khas Pengakuan Cukai Secara Sukarela

HANGAT diperkatakan mengenai isu melunaskan cukai dan masih ada yang culas untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pembayar cukai. 

Artikel Lain