suria

Speaker Selangor Mohon Ketepi Saman Pemula Badrul Hisham

SHAH ALAM: Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Datuk Teng Chang Khim memfailkan permohonan untuk mengenepikan saman pemula yang difailkan oleh Badrul Hisham Abdullah terhadapnya berhubung keputusan beliau mengisytiharkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang sebagai kosong.

Permohonan tersebut difailkan pada Rabu, menerusi peguam Tommy Thomas di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi di sini.

Berdasarkan afidavit jawapan yang difailkan bagi menyokong permohonan tersebut, Teng, 48, mendakwa beliau dilindungi oleh imuniti di bawah Artikel 72 Perlembagaan Persekutuan daripada sebarang tindakan undang-undang oleh Badrul Hisham.

Teng juga berkata, mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk memutuskan persoalan yang berkaitan dengan keputusan dan deklarasi yang dibuatnya atas kapasiti sebagai Speaker Selangor mahupun prosiding Sidang DUN.

Beliau seterusnya berkata, Perenggan 3 dalam Jadual kepada Artikel 77 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 juga memberikan beliau imuniti daripada prosiding perundangan, termasuk saman pemula yang difailkan oleh Badrul Hisham pada 24 Januari lalu.

Selain itu, Teng atas nasihat peguam caranya percaya bahawa permohonan saman pemula Badrul Hisham adalah penyalahgunaan proses mahkamah.

Dalam afidavit tersebut, Teng juga mendakwa keputusan untuk mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN itu yang dibuat dalam sidang akhbar pada 19 Januari lalu dibuat dengan berhati-hati, termasuk membuat penyelidikan berhubung peruntukan undang-undang yang terlibat.

“Saya telah mengkaji undang-undang, praktis dan prosedur yang melibatkan Sidang DUN Selangor dan juga peranan saya sebagai Speaker. Latar belakang saya sebagai seorang peguam cara selama 13 tahun sejak Januari 1995 sehingga April 2008 juga membantu pemahaman saya,” katanya.

Beliau mempunyai kuasa sebagai Speaker untuk mengisytiharkan kekosongan kerusi tersebut dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mengadakan Pilihan Raya Kecil bagi mengisi kekosongan tersebut dalam tempoh 60 hari daripada keputusan itu dibuat.

Badrul Hisham memenangi kerusi DUN N46 itu menerusi Pilihan Raya Umum pada 8 Mac 2008 menerusi tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum membuat keputusan untuk keluar parti dan menjadi ADUN bebas pada 29 Oktober 2009.

Beliau menjadi ADUN bebas selama kira-kira 14 bulan dan pada Oktober 2010, Badrul Hisham menghantar borang permohonan untuk menjadi ahli Umno.

Seterusnya, Teng memberitahu terdapat sembilan Sidang DUN diadakan iaitu tiga sidang pada tahun 2008, 2009 dan 2010, dan Badrul Hisham didakwa tidak menghadiri enam persidangan DUN pada 8 November 2010 tanpa memberikan surat atau notis bertulis.

Teng mendakwa, pada 10 Disember 2010, beliau menerima surat daripada Badrul Hisham yang bertarikh November 2010 (tanpa menyatakan tarikh spesifik) memberikan alasan beliau sedang menjalani rawatan tradisional di Pahang.

Pada 24 Januari lalu, Badrul Hisham, 51, memfailkan saman pemula menerusi peguam Datuk Hafarizam Harun bagi mendapatkan deklarasi bahawa beliau masih ADUN yang sah dan berhak untuk menghadiri segala sidang yang berkaitan dengan tugasnya.

Pada 7 Februari lalu, beliau memperoleh perintah injunksi sementara bagi menghalang SPR daripada membincangkan status kedudukan kerusinya.

Perintah tersebut akan berkuatkuasa sehingga 17 Februari ini, iaitu sehingga pendengaran saman pemula tersebut.

Artikel Lain