suria

PAS Takut Sokongan Rakyat Kelantan Semakin Pudar : Mustapa

PASIR PUTEH: PAS semakin resah melihat sokongan rakyat Kelantan terhadap parti itu semakin pudar dan mereka kini mula menerima kembali Umno, kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata keadaan itu jelas dilihat apabila rakyat menolak PAS pada pilihan raya kecil bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan kawasan Galas dan sebelum itu di DUN Manik Urai apabila calon parti itu hanya menang dengan majoriti tipis. "Lebih menggusarkan mereka apabila kita melancarkan Gelombang Merah baru-baru ini, mereka bertindak membuang kain rentang mengenai program itu yang digantung di merata tempat.

"Mereka juga semakin resah apabila tidak ramai lagi penyokong menghadiri ceramah mereka dengan ratusan malah ribuan rakyat mula beralih menghadiri program Umno," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Umno Kelantan di sini malam tadi.

Mustapa, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata Umno Kelantan akan memantapkan lagi kedudukannya bagi memberi keyakinan kepada rakyat supaya memilih BN pada pilihan raya umum akan datang.

"Sebab itu kita akan memperkemaskan beberapa perkara paling penting iaitu jentera penerangan, kempen gerak saraf dan daftar pemilih," katanya.

Mustapa berkata beliau juga yakin rakyat Kelantan terutama yang berada di luar negeri itu akan membuat pilihan bijak dengan memilih BN nanti.

"Sikap pengundi muda tidak lagi seperti pada pilihan raya umum yang lalu dan dilihat sudah cenderung kepada menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya.

Beliau berkata Konvensyen BN Kelantan akan diadakan pula selepas ini sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum. - BERNAMA

Artikel Lain