suria

Ops Piramid Kedua Dipertimbang Jika Mesir Kembali Meruncing

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menimbang untuk melancarkan Ops Piramid kedua jika keadaan kembali bertambah meruncing di Mesir memandangkan masih ada pelajar Malaysia yang berada di negara itu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata kerajaan sedang memantau perkembangan mengenai keselamatan para pelajar Malaysia yang memilih untuk terus menetap di negara yang sedang bergolak itu.

"Kerajaan sedang melihat secara dekat perkembangan keadaan pelajar negara yang masih tinggal di Mesir, jika perlu untuk dilancarkan Ops Piramid kedua, ia akan diberikan perhatian," katanya dalam satu persidangan akhbar di sini Jumaat.

Ops Piramid adalah satu misi tajaan kerajaan Malaysia untuk membawa keluar rakyat dan pelajar negara ini yang terperangkap di Mesir, untuk dibawa ke Jeddah dan kemudian ke Malaysia, ekoran pergolakan di Mesir.

Kumpulan pertama dibawa pulang ke tanah air pada Isnin lepas, dan sehingga kini 4,281 rakyat Malaysia berjaya dibawa pulang dari Mesir, termasuk 451 orang yang tiba di KLIA dengan penerbangan Malaysia Airlines MH8031 pada 2.20 pagi Jumaat.

Sementara itu Jamil Khir berkata pergolakan yang berlaku di Mesir adalah krisis dalaman negara berkenaan dan ia perlu ditangani secara bijaksana.

"Dalam hal seperti ini orang luar tidak boleh campurtangan kerana ini adalah urusan dalaman negara berkenaan, dan perlu hormati negara masing-masing," katanya.

Jamil Khir sebelum itu bersiaran secara langsung dalam rancangan "Assalamualaikum" sempena sambutan Maulidur Rasul di Stesen Televisyen AlHijrah (TV AlHijrah) di sini.

TV AlHijrah yang bersiaran di Astro hujung April ini akan menampilkan rancangan-rancangan menarik yang merakamkan pelbagai program sempena sambutan Maulidur Rasul selama sebulan dari 4 Febuari sehingga 5 Mac ini.

Antaranya ialah Dokumentari: Titian Ombak (13 episod); Majalah Islam; Bual Bicara: Assalamualaikum; Majalah: Tamu Dari Hadramaut; Muhasabah; Hiburan: KL Selawat; dan Filem: Children Of Heaven. - BERNAMA

Artikel Lain