suria

Lelaki Cedera Ditikam Selepas Motosikal Bergesel Dengan Kereta

KUANTAN: Seorang lelaki cedera parah ditikam selepas motosikal yang ditungganginya bergesel dengan sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat Jalan Gambang-Panching di sini, awal pagi Rabu.

Pegawai Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Asisten Supritendan Noor Asyikin Shamsuri berkata kejadian berlaku pada kira-kira 4 pagi itu semasa lelaki berumur 21 tahun itu sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Panching, apabila motosikal yang ditunggangnya bergesel dengan sebuah kereta di satu persimpangan lampu isyarat Jaya Gading, di sini.

Beliau berkata insiden itu mencetuskan pertengkaran kecil antara lelaki itu dengan penumpang kereta terbabit, dan mereka kemudiannya beredar dari situ, sebelum terserempak sekali lagi di persimpangan lampu isyarat Jalan Gambang-Panching, kira-kira satu kilometer dari tempat berlaku kemalangan.

"Seorang lelaki kemudiannya meluru keluar dari kereta tersebut dan menikam penunggang motosikal itu dua kali dengan sebilah pisau sebelum melarikan diri," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Katanya penunggang motosikal yang ditikam di bahagian rusuk kiri itu kemudiannya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan untuk rawatan.

Moor Asyikin berkata polis yang menerima laporan daripada abang penunggang itu kira-kira sejam selepas kejadian, berjaya menahan seorang suspek di sekitar kawasan kejadian dan turut menemui sebilah pisau, parang, serta mata lembing dalam kereta dinaikinya. - BERNAMA

Artikel Lain