suria

Lelaki Bebas Tuduhan Rasuah Anggota Polis RM10,000

KUANTAN: Seorang lelaki dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri atas tuduhan memberi suapan kepada seorang anggota polis tahun lepas.

Hakim Mahkamah Sesyen Ahmad Zamzani Mohd Zain membuat keputusan itu di sini, Jumaat setelah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Chun Chee Seng, 27, yang bekerja sendiri.

Chun didakwa memberi suapan wang tunai RM10,000 kepada seorang anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Bahagian Risikan Operasi (D4) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Cif Insp Md Azhar Md Naim, supaya tidak tidak mengambil tindakan ke atasnya kerana disyaki menjalankan perniagaan judi ekor haram yang merupakan kesalahan mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya yang bernombor 333-67, Lorong Sentosa Kanan 1, Desa Kenangan, Muadzam Shah, dekat Rompin pada pukul 8.10 malam, 19 Mei tahun lepas.

Chun didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694).

Chun diwakili peguam Muhammad Hisham Abdul Rahim manakala Raja Mohd Shasrizam Raja Nik Mahmood bertindak sebagai pegawai pendakwa raya SPRM.

Raja Mohd Shasrizam berkata pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu. - BERNAMA

Artikel Lain