suria

Lebih 500,000 Komputer Riba Diedarkan Ke Seluruh Negara

KUALA KLAWANG: Lebih 500,000 komputer riba 1Malaysia akan diedarkan di seluruh negara menjelang akhir tahun ini, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata komputer berkenaan, yang merupakan sebahagian daripada fasa kedua pembekalan komputer riba 1Malaysia, akan diedarkan dalam tempoh tiga minggu dari sekarang.

"Untuk fasa pertama diperuntukkan sebanyak 123,000 komputer riba manakala fasa kedua sebanyak 200,000. Sehingga kini 200,000 komputer riba telah selesai diedarkan di seluruh kawasan Parlimen dan sekolah di seluruh negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung berkelompok Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah-sekolah di Parlimen Jelebu 2011 di sini, Jumaat.

Rais, yang juga Anggota Parlimen Jelebu, berkata 300,000 komputer riba untuk fasa ketiga akan ditenderkan kepada syarikat SME (enterpris kecil dan sederhana) untuk mengambil bahagian dalam penjualan dan juga pembeliannya.

Katanya fasa pengedaran komputer riba ini akan diselesaikan pada tahun ini.

"Secara keseluruhannya, kita sedang memantau khasnya di Sabah dan Sarawak agihan ini, kerana kita juga menerima beberapa sungutan daripada masyarakat di bawah," katanya.

Rais berkata antara sungutan adalah ada komputer tapi tiada khidmat jalur lebar, dan kedua ada pihak tidak bertanggungjawab menjual komputer riba 1Malaysia, dengan 26 kes dilaporkan sehingga kini.

"Pembekalan komputer riba yang dilaksanakan kementerian ini akan kita kaitkan dengan kampung Wi-Fi atau kampung tanpa wayar. Apabila ini dapat kita laksanakan maka kampung tanpa wayar itu akan dapat menyalurkan khidmat perkomputerannya menerusi komputer riba yang kita edarkan.

"Kita akan buat kajian keberkesanannya kemudian dan juga jangkauannya ke kampung-kampung. Tetapi program ini perlu 'dikahwin' (digabungkan) dengan kampung tanpa wayar. Jadi, kita akan lihat dulu bagaimana ia boleh dijaringkan sebagai satu perkhidmatan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain