suria

Dua Kumpulan Penuntut Sabah Di Mesir Tiba Jumaat

KOTA KINABALU: Dua lagi kumpulan penuntut Sabah di Mesir akan tiba di sini, Jumaat manakala sekumpulan empat orang lagi akan meninggalkan Kaherah pada 13 Februari, kata Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Sukarti Wakiman.

Seramai 63 penuntut dijadual tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pukul 9 malam ini, katanya dalam satu kenyataan di sini, Khamis.

"Ini termasuk seorang pelajar dan lima orang ahli keluarga Ustaz Sabli Aliju, Pegawai Tadbir Yayasan Sabah di Kaherah yang turun di Kuala Lumpur.

"Yang lain dijangka menaiki penerbangan ke Kota Kinabalu dan tiba pada awal pagi esok, iaitu pukul 12.45 pagi," katanya.

Rombongan terakhir seramai 68 penuntut dijadual tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada pukul 8.25 malam Jumaat.

Sabli dan tiga penuntut lagi akan meninggalkan Kaherah pada 13 Februari ini.

Setakat ini, 171 penuntut Sabah dari Mesir telah kembali ke tanah air.

Sukarti berkata operasi penghantaran balik penuntut Sabah di Mesir berjalan lancar seperti dijadualkan. - BERNAMA

Artikel Lain