suria

Bayi Perempuan Ditinggalkan Bersama Sehelai Nota

LUMUT: Polis menemui seorang bayi perempuan berusia 10 hari di belakang sebuah rumah di Taman Fasa Dua, Seri Manjung, dekat sini awal pagi Khamis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Manjung Deputi Supritendan Shaharudin Abdullah berkata polis mendapat maklumat berhubung dengan kejadian itu kira-kira pukul 5.30 pagi.

"Bayi perempuan itu ditemui bersama sehelai nota yang kemudian menjadi petunjuk kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan.

"Hasil daripada nota tersebut, kita telah membuat tangkapan terhadap seorang lelaki Melayu berusia 24 tahun dan seorang wanita Melayu berusia 29 tahun pada hari yang sama penemuan bayi itu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung, dekat sini Jumaat.

Kedua-dua suspek merupakan pekerja swasta di daerah ini dengan suspek lelaki merupakan penduduk setempat manakala suspek wanita berasal dari negeri di sebelah utara.

Shaharuddin berkata hasil daripada soal siasat yang dijalankan, mendapati kedua-dua suspek mengaku bahawa bayi itu merupakan anak luar nikah hasil hubungan sulit mereka.

"Daripada pengakuan suspek wanita, bayi berkenaan diletakkan di belakang rumah itu selepas suspek lelaki didakwa enggan bertanggungjawab menyebabkan suspek wanita hilang punca.

"Kerana tidak mampu untuk menjaga bayi itu bersendirian, suspek wanita telah meletakkan bayi berkenaan di belakang rumah satu keluarga yang didakwanya merupakan ahli keluarga suspek lelaki.

Shaharuddin berkata hasil siasatan mendapati bayi berkenaan dilahirkan pada 25 Januari lalu dan dilahirkan sendiri oleh suspek wanita di sebuah bilik hotel sekitar Manjung.

Kedua-dua suspek berada dalam tahanan polis hingga Jumaat.

Shaharudin berkata kes akan dirujuk kepada Unit Pengkajian Penyiasatan dan Pendakwaan terlebih dahulu sebelum pendakwaan dijalankan terhadap suspek. - BERNAMA

Artikel Lain