suria

70 Peratus Saman Ops Sikap Ke-23 Kesalahan Memandu Lebih Had Laju

KUALA LUMPUR: Kecenderungan pengguna jalan raya di Malaysia untuk memandu laju dilihat amat tinggi berdasarkan rekod statistik Ops Sikap ke-23 lepas yang menyaksikan 70 peratus daripada saman yang dikeluarkan dalam tempoh Ops itu adalah bagi kesalahan membawa kenderaan melebihi had laju yang ditetapkan.

Ketua Trafik Pasukan Ibupejabat Polis Bukit Aman Datuk Abdul Aziz Yusof berkata daripada 167,868 saman yang dikeluarkan sepanjang tempoh Ops Sikap ke-23 yang bermula sejak 27 Januari lepas sehingga Khamis, 105,610 daripadanya adalah berkaitan kesalahan memandu melebihi had laju yang ditetapkan.

Beliau berkata jumlah saman yang dikeluarkan pada Ops Sikap kali ini juga mencatatkan peningkatan lima peratus berbanding Ops Sikap ke-21 iaitu Ops Sikap yang dijalankan pada Tahun Baru Cina tahun lepas.

"Jumlah saman pada Ops Sikap kali ini meningkat 7,764 berbanding 159,254 dalam Ops Sikap ke-21," katanya dalam satu persidangan akhbar di Ibupejabat Polis Bukit Aman di sini Jumaat.

Sementara itu Abdul Aziz berkata jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya yang dicatatkan dalam tempoh Ops Sikap kali ini ialah 199, iaitu kurang dua orang berbanding tempoh Ops Sikap-21.

Beliau berkata penunggang motosikal merupakan kumpulan paling ramai yang maut akibat kemalangan jalan raya dalam tempoh Ops Sikap-23, menjangkau 136 daripada 199 kemalangan yang dicatatkan, atau 68 peratus.

"Saya ingin menyeru agar semua pengguna jalan raya dalam negara supaya dapat meningkatkan kesedaran mereka berhubung isu-isu keselamatan jalan raya dan pematuhan undang-undang semasa memandu sekiranya ingin melihat kadar kemalangan berkurangan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain