suria

TPM Serah Bantuan Persekolahan RM2.5 Bilion

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyerahkan peruntukan bantuan persekolahan tahun 2011 berjumlah RM2.49 bilion kepada 16 Jabatan Pelajaran Negeri dan tujuh bahagian di Kementerian Pelajaran.

Majlis berlangsung selepas Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, menyampaikan Perutusan Khas 2011 Kementerian Pelajaran di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, Khamis.

Menurut kenyataan kementerian, bantuan itu diberikan bagi merapatkan jurang pendidikan yang wujud antara murid di bandar dan di luar bandar, murid daripada golongan miskin dan berada, murid biasa dan murid berkeperluan khas serta kemudahan bagi murid yang ditimpa bencana.

"Ia juga bertujuan meringankan beban kewangan ibu bapa atau penjaga dalam menampung perbelanjaan persekolahan anak-anak di sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan seluruh negara serta memastikan anak-anak ini terus dapat bersekolah selaras dengan Dasar Pendidikan Wajib 2003," menurut kenyataan itu.

Agihan peruntukan itu dibuat melalui 22 jenis bantuan termasuk Rancangan Makanan Tambahan, Bantuan Pakaian Seragam Sekolah, Biasiswa Kecil Persekutuan, Biasiswa Kelas Persediaan Universiti, Biasiswa Sukan, Elaun Murid Berkeperluan Khas, Yuran Khas Sekolah, Bantuan Makanan Asrama, Kelas Dewasa Ibu Bapa Orang Asli dan Penan dan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin.

Daripada segi Jabatan Pelajaran Negeri, Sarawak menerima peruntukan tertinggi berjumlah RM393 juta, diikuti Sabah sebanyak RM246 juta, Selangor RM208 juta, Kelantan RM180 juta, Johor RM178 juta, Perak RM159 juta dan Kedah RM139 juta.

Bagi peringkat kementerian, Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan mendapat peruntukan tertinggi berjumlah RM117 juta, diikuti Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional sebanyak RM114 juta dan Bahagian Pendidikan Khas sebanyak RM99 juta.

"Kerajaan berharap pemberian bantuan persekolahan ini akan memberi motivasi kepada murid untuk terus menimba ilmu ke peringkat lebih tinggi supaya menjadi insan yang kreatif, inovatif dan berkemahiran serta seterusnya dapat menyumbang kepada pembangunan negara," menurut kenyataan itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain