suria

Projek Naik Taraf Lapangan Terbang Bayan Lepas Ikut Jadual

GEORGE TOWN: Kerja menaiktaraf Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas (LTABL) yang dimulakan sejak Jun tahun lepas telah mencapai 15 peratus seperti yang dijadual.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Rahim Bakri berkata projek yang menelan belanja RM250 juta itu dijangka siap pada Jun tahun depan.

"Projek ini bagi meningkatkan kapasiti LTABL daripada 3.5 juta penumpang kepada lima juta penumpang setahun," katanya kepada pemberita selepas melawat lapangan terbang itu Khamis.

Abdul Rahim berkata pengendalian penumpang di LTABL meningkat setiap tahun dan kini telah mencapai 4.1 juta orang.

Beliau berkata projek menaik taraf itu membabitkan juga pengubahsuaian bangunan terminal utama.

Dalam satu kenyataannya pula, Abdul Rahim menggesa Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) membuat persediaan awal membesarkan hab pengangkutan rel bagi memanfaatkan kewujudan perkhidmatan landasan berkembar Ipoh-Padang Besar yang dijangka siap pada 2014.

"Pelaksanaan Kawasan Perdagangan Bebas Asean (AFTA) dan peningkatan integrasi pengangkutan Asean Rail Links dari Kunming, China ke Singapura juga dijangka mewujudkan peluang perniagaan kontena dan kargo kepada KTMB," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain