suria

PRK Merlimau: Umno Jasin Serah Tujuh Nama

PETALING JAYA: Umno Bahagian Jasin telah mengemukakan tujuh nama untuk dipertimbangkan sebagai calon pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau yang akan berlangsung, 6 Mac ini.

Ketuanya Datuk Ahmad Hamzah berkata senarai nama tersebut telah diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak melalui Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

"Kita telah kemukakan tujuh nama yang kita rasakan sesuai kepada Ketua Menteri kelmarin.

"Kita tunggu apa keputusan Perdana Menteri siapa yang akan dipilih sebagai calon di Merlimau,” katanya kepada mStar Online di sini pada Khamis.

Beliau turut mengesahkan kesemua nama calon yang diserahkan itu terdiri daripada anak tempatan yang telah lama memberi khidmat di negeri itu.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Jasin bagaimanapun enggan mendedahkan senarai nama calon yang telah dikemukakan itu.

"Saya sudah serahkan nama kepada Ketua Menteri. Kita tunggu sahaja pengumuman rasmi oleh pucuk pimpinan," katanya.

Beliau bagaimanapun menegaskan Umno bahagian tetap akur kepada keputusan pucuk pimpinan sekiranya nama yang diserahkan itu tidak dipilih.

Difahamkan tujuh nama yang dikemukakan itu termasuk bekas ahli Parlimen Jasin Datuk Mohd Said Yusof.

Turut disenaraikan tiga pemimpin sayap Umno Jasin, mereka ialah Ketua Wanita Zaleha Bujang, Ketua Pemuda Zaid Atan dan Ketua Puteri Siti Faizah Abdul Azis.

Tiga lagi calon terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Umno Jasin iaitu Mohamed Nasser Selamat, Roslan Ahmad dan Nasir Bazid.

Kerusi DUN Merlimau kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, 54, pada 20 Januari lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 26 Februari sebagai tarikh penamaan calon dan sekiranya ada pertandingan, pengundian pada 6 Mac.

Pada pilihan raya umum 2008, Mohamad Hidhir menewaskan calon PAS, Jasme dengan majoriti 2,154 undi.

Artikel Sebelum

Artikel Lain