suria

Peniaga Dakwa Dikasari Semasa Operasi Roboh Gerai

BUKIT MERTAJAM: Seorang peniaga di Taman Pelangi di sini membuat satu laporan polis di ibu pejabat polis daerah Seberang Perai Tengah, mendakwa dia dikasari oleh petugas Majlis Perbandaraan Seberang Perai (MPSP) semasa mereka menjalankan operasi meroboh gerainya, Rabu.

Mohd Syukri Md Zain, 48, berkata kejadian pada kira-kira pukul 11 pagi itu bermula dengan salah faham apabila dia ditolak dari belakang semasa operasi meroboh gerai-gerai di kawasan itu dijalankan, menyebabkan dia bersama seorang penguatkuasa MPSP terjatuh.

Bercakap kepada pemberita ketika ditemui di bekas tapak gerainya, katanya akibat salah faham ekoran insiden itu beliau ditendang dan dipijak oleh beberapa anggota polis bantuan MPSP, sebelum dibawa ke balai Polis Bukit Tengah dalam keadaan pitam.

"Saya turut digari sehingga tangan jadi lebam, dan hanya dibawa ke klinik untuk dapatkan rawatan oleh anggota polis di balai berkenaan," katanya kepada pemberita di sini Khamis.

Mohd Syukri yang menjalankan perniagaan kedai makan sejak lima tahun lepas di kawasan itu berkata beliau hanya menerima notis berhubung operasi merobohkan gerai pada 6 Februari lepas dan diberi tempoh selama 30 hari untuk mengosongkan gerainya itu.

"MPSP bagi tempoh 30 hari, tetapi dalam masa dua hari mereka sudah datang roboh kedai makan saya, bukan setakat rugi malah saya turut menanggung hutang," katanya.

Sementara itu Yang Dipertua MPSP Mokhtar Jait ketika dihubungi berkata pihaknya akan menyiasat tuduhan berhubung kekasaran yang dilakukan oleh anggota polis bantuan MPSP itu.

Beliau berkata setiap operasi dijalankan mengikut prosedur biasa, dan dalam menjalankan setiap tanggungjawabnya, MPSP tidak pernah mengamal sikap pilih kasih.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Ayub Yaakob pula ketika dihubungi mengesahkan polis menerima laporan yang mendakwa anggota polis bantuan MPSP bertindak kasar semasa menjalankan operasi meroboh gerai-gerai berkenaan.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan, pihak polis akan memanggil mereka yang berkenaan untuk diambil keterangan," katanya.

Katanya dua peniaga lain yang ditahan kerana mengasari penguatkuasa MPSP, sudah dibebaskan dengan jaminan polis selepas diambil keterangan pada hari yang sama.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Pulau Pinang Datuk Musa Sheikh Fadzir semasa diminta mengulas tindakan merobohkan gerai-gerai itu menyuarakan rasa kesal dengan tindakan kerajaan negeri pimpinan DAP yang dilihat seperti sengaja mahu melumpuhkan ekonomi orang Melayu di Pulau Pinang.

"Kalau hendak bantu rakyat, bantulah dengan bersungguh bukan dengan cara begini, tiada seorang pun wakil mereka turun padang menjenguk keadaan rakyat," katanya ketika ditemui di satu majlis berasingan.

Pada Rabu MPSP dilaporkan bersetuju menangguhkan sementara operasi meroboh kira-kira 1,000 gerai haram di kawasan berkenaan yang dijalankan sejak Isnin lepas, bagi membolehkan para peniaga mendapatkan tempat lain untuk berniaga. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain