suria

Pengguna Motosikal Masih Korban Tertinggi Ops Sikap

KUALA LUMPUR: Pengguna motosikal terus menjadi penyumbang tertinggi angka korban jalan raya dengan 10 kematian daripada 12 yang direkodkan pada hari ke-14 Ops Sikap ke-23, Rabu.

Statistik Polis Cawangan Trafik Bukit Aman menerusi laman webnya menunjukkan angka terbaru itu menjadikan jumlah yang maut akibat kemalangan jalan raya sejak operasi bermula pada 27 Januari lepas meningkat kepada 191 kematian.

Daripada jumlah itu 128 adalah pengguna motosikal.

Laman web itu juga melaporkan sebanyak 1,156 kemalangan di seluruh negara dalam tempoh 24 jam lepas dengan jalan bandaran kekal mencatatkan kes tertinggi iaitu 486 kemalangan diikuti jalan persekutuan (295), jalan negeri (219), lebuh raya (85) dan jalan-jalan lain (71).

Sebanyak 12,040 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik.

Ops Sikap ke-23 berakhir Khamis. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain