suria

LEVY BANJIR: SUDAH JATUH DITIMPA TANGGA

PENULIS ingin meneruskan cerita berkaitan banjir yang melanda Australia sebagaimana yang pernah penulis coretkan dalam ruangan ini pada 17 Januari lalu.

Kini isu tersebut telah membuka satu lembaran baru yang cukup hangat diperdebatkan di media-media tempatan.

Banjir yang mencapai tahap tertinggi itu telah menjejas wilayah perlombongan dan perladangan di negeri Queensland serta merosakkan prasarana dan puluhan ribu rumah.

Ternyata banjir besar ini telah 'menular' ke Victoria. Meskipun skala banjirnya tidak sebesar di Queensland, tetapi cukup banyak rumah penduduk yang terendam, terutama yang bermukim di zon utara. Akan tetapi rasanya limpahan arus banjir itu tidak akan menuju ke Melbourne seperti halnya terjadi di Queensland dan Brisbane.

Menurut Perdana Menteri Australia, banjir yang melanda banyak kawasan di timur Australia akan mengurangkan pertumbuhan Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) sebanyak 0.5 peratus bagi tahun kewangan 2010. Beliau turut menjangkakan kos pembangunan semula secara kasarnya boleh mencecah AUD$5.6 bilion (RM18 bilion).

Untuk mengatasi isu ini, dua pendekatan utama akan diambil oleh kerajaan pimpinan Julia Gillard; pertama Canberra akan mempercepatkan kelulusan bagi pendatang mahir untuk bekerja di kawasan yang dilanda banjir. Langkah itu bagi mengatasi kekurangan tenaga kerja ekoran perlombongan pesat yang disebabkan oleh permintaan dari Asia Tengah.

Langkah ini juga dilihat untuk mengurangkan kos perkhidmatan yang melambung tinggi yang dikenakan oleh tenaga kerja tempatan.

Kedua, pendekatan yang cukup kontroversi, iaitu menerapkan levy ataupun cukai tambahan khusus untuk bencana banjir yang melanda Australia.

Menurut Julia, levy ini perlu dikenakan agar kerajaan memiliki dana yang mencukupi untuk merehabilitasi serta membangunkan kembali kawasan-kawasan yang terkena musibah banjir.

Beliau juga memberi alasan bahawa dana yang diperlukan untuk membangunkan semula kawasan yang terjejas cukup besar sekali, meskipun pada saat ini kerajaan pimpinan beliau belum selesai melakukan kajian terperinci tentang betapa besarnya jumlah dana yang diperlukan untuk tujuan pemulihan tersebut.

Tentu sahaja, gagasan ini segera memunculkan perdebatan dan bantahan. Tony Abbott, selaku ketua pembangkang di parlimen Canberra, dengan pantas menolak gagasan levy khusus untuk bencana banjir itu. Beliau berpendapat bahawa walaupun diberi nama levy ia tetap merupakan cukai.

Setiap cukai pastinya membebani warga masyarakat terutama mereka yang berpendapatan rendah. Hujah Abbot lagi jika gagasan levy itu akan diterapkan pastinya akan membuat harga barang dan perkhidmatan menjadi semakin mahal.

Padahal, dengan terjadinya banjir di Queensland itu sudah menyebabkan produk-produk dari negara bahagian itu, khususnya buah-buahan tropika, meningkat berpuluh kali ganda. Isu ini seperti menyapu garam pada luka, tambahan kos pengangkutan yang juga naik kerana harga minyak akhir-akhir ini juga meningkat dengan tinggi.

Ironinya, menjawab tuduhan Abott, Julia menegaskan, levy yang dikenakan hanyalah 0.5 peratus dari jumlah pendapatan tahunan setiap individu, yang dijangka akan dapat mengumpulkan AUD$1.8 bilion (RM6.2 bilion).

Menurut Julia lagi, levy ini hanya akan dikenakan ke atas mereka yang bergaji lebih daripada AUD$50,000 bagi tahun kewangan 2011/12. Mereka yang terjejas oleh banjir secara langsung dikecualikan dari membayar sebarang levy.

Bagi saya pula, adalah sesuatu yang pelik, apabila kerajaan meminta rakyat menanggung kos tambahan pembangunan negara. Tambah pelik bagi saya, apabila terbukti kerajaan ini tidak mempunya simpanan untuk tabung kecemasan. Bayangkan pula jika ada bencana lain yang menimpa Australia tahun ini, adakah kerajaan akan mengenakan levy yang lain pula?

Sistem begini mengingatkan saya kepada kaedah komunisma yang meletakkan beban negara pada seluruh bahu rakyat. Mungkinkah ini bentuk komunisma baru?

Maka tidak peliklah, apabila dilakukan tinjauan suara di media-media bercetak mahupun elektronik menunjukkan hampir 90 peratus penduduk Australia menolak untuk membayar levy ini. Alasan utama yang diberikan ialah, sebelum ini kerajaan telah meminta setiap rakyat berkorban dengan menderma untuk magsa-mangsa bencana, kutipan yang terhasil juga cukup tinggi.

Sekarang, kerajaan memaksa pula mereka membayar kos yang sepatutnya dilangsaikan oleh pemerintah. Bagi setengah penduduk, isu untuk membayar levy merupakan satu tikaman dari belakang setelah apa yang mereka lakukan untuk negara.

Tambahan Australia merupakan salah sebuah negara yang mempunyai cukai pendapatan yang agak tinggi, apatahlagi orang seperti penulis, yang bukan rakyat mahupun penduduk tetap yang dikenakan cukap pendapatan lebih dari 40 peratus daripada total perolehan tahunan.

Tulisan ini bukan tujuan untuk mengkritik pimpinan Julia, tetapi sekadar menyatakan rasa pelik terhadap sistem kewangan dibawah seliaan beliau. Penulis terfikir, jika di Malaysia juga mengamalkan sistem begini ataupun negara seperti Indonesia, yang kerap mengalami bencana alam, pastinya habis pendapatan dipotong untuk dana kerajaan.

Dr Ahmad Zaharuddin Sani Sabri merupakan Honorary Fellow di Asian Institute University of Melbourne dan Adjunct di School of Philosophy, History and International Studies Monah University. Beliau boleh dihubungi menerusi email [email protected]

Artikel Sebelum

Artikel Lain