suria

Kes Lanun Somalia Diputuskan Selepas Kertas Siasatan Diteliti: Peguam Negara

KUALA LUMPUR: Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berkata, beliau akan memutuskan tindakan yang akan diambil terhadap tujuh lanun Somalia yang ditahan tentera Malaysia di Teluk Aden pada 20 Januari, selepas memberi taklimat kepada pegawainya mengenai kertas siasatan awal yang diserahkan kepada mereka oleh polis, Rabu.

Katanya, beliau akan membuat keputusan sama ada akan mendakwa kesemua lanun berkenaan di mahkamah atau mengarahkan siasatan lanjut dilakukan hanya selepas meneliti kertas siasatan itu.

"Pada ketika ini saya hanya boleh mengesahkan kertas siasatan telah diterima oleh pegawai saya dan kami perlu menelitinya," kata Abdul Gani kepada pemberita semasa ditemui di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini.

Pada 31 Januari, polis memperoleh perintah reman ke atas lanun berkenaan selama tujuh hari dan perintah itu dilanjutkan enam hari lagi dari 6 Februari.

Sebelum ini, Gani dipetik sebagai berkata, lanun Somalia itu akan dilayan sama seperti kes jenayah lain, di mana siasatan akan dilakukan secara adil dan diikuti dengan perbicaraan yang adil.

Pada 20 Januari, komando Tentera Laut Diraja Malaysia menyelamatkan kapal MT Bunga Laurel daripada cengkaman lanun Somalia yang bersenjatakan raifal AK-47 dan pistol kira-kira 333 batu nautika (555km) timur Oman.

Misi menyelamat itu diberi nama "Operasi Fajar", dijalankan bersama-sama dengan kapal bantuan TUDM, Bunga Mas 5.

Anggota komando berkenaan berjaya menewaskan lanun berkenaan selepas berlaku pertempuran yang mencederakan tiga daripada lanun berkenaan.

Tiada daripada anggota komando berkenaan cedera dalam operasi itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain