suria

Gabungan NGO Islam Lahir Penghargaan Kepada PM Atas Kejayaan Ops Piramid

PUTRAJAYA: Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam melahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di atas kejayaan Ops Piramid, misi bagi menyelamat pelajar dan rakyat Malaysia dari Mesir.

Gabungan dianggotai 60 persatuan itu yang diketuai oleh Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Dr Maamor Osman menyerahkan memorandum penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Najib di pejabat Perdana Menteri di sini.

Dr Maamor berkata dalam pertemuan dengan Najib itu, gabungan itu menyatakan penghargaan, perasaan terharu dan tahniah kepada Perdana Menteri dan pasukannya yang berjaya mengeluarkan rakyat Malaysia daripada krisis di Mesir dalam keadaan selamat pada tempoh yang sangat singkat.

"Ini adalah bukti yang sekiranya kita fokus kepada (slogan) Rakyat Didahulukan, kerja berpasukan, fokus kepada menyelesaikan masalah, apa yang sukar akan dapat diatasi," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum itu.

Dr Maamor berkata pihaknya turut meminta jasa baik Perdana Menteri supaya memberi peluang kepada pelajar berkenaan daripada segi membenarkan mereka menyambung pelajaran sama ada di Malaysia atau di mana-mana tempat yang difikirkan perlu dan munasabah.

"Dan sekiranya keadaan di Mesir telah kembali aman dan selamat, mereka dihantar pulang atas tanggungan kerajaan," katanya.

Katanya pihaknya juga mencadangkan kerajaan mewujudkan sebuah universiti seperti Universiti Al-Azhar di negara ini berikutan ia dilihat merupakan kaedah yang baik untuk memberikan pendidikan bersesuaian dengan permintaan rakyat sekarang.

Katanya terdapat lebih 10,000 pelajar Malaysia mengikuti pengajian di Mesir yang kebanyakannya menuntut di Universiti Al-Azhar, dan lulusan institusi itu mendapat permintaan yang tinggi daripada Asia Tenggara.

"Jadi, kita mencadangkan supaya kerajaan memikirkan apakah ada kemungkinan tersebut iaitu mewujudkan satu universiti (serupa universiti) Al-Azhar di Malaysia dengan kurikulum, tenaga pengajar dan sistem yang sama.

"Ia (Universiti Al-Azhar) terbukti sebagai satu institusi pengajian tinggi yang mempunyai sejarah yang panjang dan mendapat penghormatan serta dekat dengan hati rakyat Malaysia," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain