suria

Dua Pegawai Imigresen Bebas Tuduhan Rasuah

ALOR SETAR: Dua pegawai imigresen yang bertugas dengan Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) Kedah dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini daripada dua pertuduhan rasuah.

Hakim Norsharidah Awang membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Abu Bakar Sidek Atan, 43, dan Mohd Azmi Adenan, 51.

Kedua-dua mereka dituduh meminta suapan RM2,000 daripada Lim Hock Leong sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan ke atas Lim kerana melindungi dua warga Bangladesh yang disyaki memiliki pas lawatan (kerja sementara) palsu di Bukit Kayu Hitam pada 10 Mei, 2005.

Mereka juga dituduh memperoleh suapan RM2,000 daripada Lim melalui Mohd Zaki Othman sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap lelaki itu bagi kesalahan yang sama pada 1.05 tengah hari di Kompleks Seri Temin, Bukit Kayu Hitam, dua hari kemudiannya.

Terdahulu, peguam S.P Raman yang mewakili Abu Bakar Sidek ketika menggulung hujahnya berkata banyak fakta penting dalam kes itu tidak jelas dan menimbulkan keraguan.

Antaranya tiada wang suapan yang didakwa untuk dijadikan bukti barang kes, rakaman siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hilang dan kedua-dua tertuduh yang didakwa mengambil wang sebenarnya tiada di tempat kejadian, katanya.

Pegawai Pendakwa dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya, M. Kathan dalam hujahnya berkata keterangan saksi-saksi kes itu adalah jelas walaupun tiada barang bukti iaitu wang dan pita rakaman siasatan.

Mohd Azmi pula diwakili peguam Y.K. Loo dan S.M. Victor.

Sementara itu, Abu Bakar Sidek ketika ditemui pemberita kemudiannya berkata beliau telah tawar hati untuk kembali bekerja dengan Jabatan Imigresen walaupun telah didapati tidak bersalah oleh mahkamah.

"Saya telah memulakan perniagaan secara kecil-kecilan sejak digantung tugas dan rasanya lebih seronok bekerja sendiri," katanya.

Mohd Azmi pula bagaimanapun berkata beliau belum membuat keputusan sama ada akan kembali bertugas atau tidak. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain