suria

Tiada Dasar Baru Dalam Pemberian AP - Mustapa

PEKAN: Tiada sebarang perubahan dasar dan pengenalan dasar baharu yang dilakukan kerajaan dalam dasar Permit Kelulusan (AP) untuk mengimport di mana ia masih sama seperti yang dilaksanakan selama ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata berdasarkan dasar MITI yang diamalkan sejak dulu lagi, jumlah AP yang dikeluarkan setiap tahun merupakan 10 peratus daripada jumlah kuantiti industri (TIV) pada tahun sebelumnya.

"Tiada dasar baharu dan dasar sedia ada tidak berubah kerana kita keluarkan AP berdasarkan TIV jadi tiada yang berubah (tahun ini)," katanya kepada pemberita selepas melawat Kompleks Automotif DRB-Hicom Pekan di sini semalam.

Beliau berkata 6.0 peratus daripada jumlah itu diagihkan kepada pemegang AP terbuka yang kesemuanya adalah Bumiputera manakala 4.0 peratus lagi diagihkan kepada pemegang AP francais.

"Jumlah pemberian AP adalah 10 peratus daripada TIV, itu dasarnya dan dasar ini sudah dilaksanakan sejak bertahun-tahun lamanya dan tiada perubahan pada dasar berkenaan," katanya.

Mengenai dakwaan para pemegang AP francais yang mengatakan pemberian AP kepada mereka pada tahun ini dikurangkan manakala untuk pemegang AP terbuka, pengagihannya dinaikkan, Mustapa berkata perkara itu tidak wujud.

"Amaun pengagihan untuk kedua-dua pemegang tetap sama. Seperti yang saya katakan ia mengikut TIV, sekiranya TIV tinggi maka tinggilah pengagihan untuk pemegang," katanya.

Menurut Mustapa, beberapa pegawai MITI pada Isnin lepas mengadakan pertemuan dengan seramai 20 pemegang AP francais untuk memberikan penerangan berhubung pengagihan AP dan tiada sebarang rasa tidak puas hati dibangkitkan oleh mereka sepanjang pertemuan itu.

"Kita beritahu mereka bahawa tiada perubahan dalam polisi dan apa yang diberikan tetap 10 peratus dari TIV dan mereka gembira dan puas hati dengan penerangan yang diberikan pegawai kami," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mustapa berkata, sejak 1984, DRB-Hicom telah melabur RM1.9 bilion di Kompleks Automotif di sini yang merangkumi RM800 juta untuk membangunkan kompleks berkenaan, RM400 juta untuk Kolej Antarabangsa Automotif manakala RM700 adalah pelaburan usahasama DRB-Hicom bersama pihak Volkswagen AG (VWAG) yang dibuat dua bulan lepas.

Beliau berkata jumlah tenaga kerja di empat buah kilang di Kompleks Automotif Pekan kini berjumlah 2,300 orang, menjadikan DRB-Hicom sebagai majikan terbesar di sini dan jumlah itu akan ditambah kepada 800 orang lagi apabila operasi pengeluaran usahasama antara DRB-Hicom dan VWAG dilaksanakan sepenuhnya November depan.

"Dengan tenaga kerja seramai 3,100 orang, dapat dilihat DRB-Hicom memberikan sumbangan besar kepada ekonomi negara selari dengan hasrat kerajaan dalam menyediakan peluang pekerjaan secara langsung dan kepada pihak yang membekalkan perkhidmatan dan komponen kepada VWAG dan lain-lain," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain