suria

Suruhanjaya Siasat Kematian Teoh Beng Hock Sedia Jalankan Prosiding Isnin Ini

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya untuk menyiasat kematian Teoh Beng Hock bersedia menjalankan prosiding Isnin ini dan segala kelengkapan telah disediakan, kata Setiausahanya Datuk Saripuddin Kasim.

Beliau berkata, suruhanjaya yang bersidang bersama lima anggota diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen itu berpuas hati dengan bilik mahkamah yang disediakan setelah meninjau sendiri keadaan dalam mahkamah itu.

Katanya, bilik mahkamah tersebut mampu memuatkan seramai 52 orang dan keutamaan akan diberi kepada pihak media serta anggota keluarga sahaja.

Saripuddin berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri mesyuarat kali kedua suruhanjaya berkenaan, yang ditubuhkan pada 26 Januari lepas, di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini.

Dalam mesyuarat ini, Saripuddin berkata anggota suruhanjaya diberi penerangan oleh pegawai pengendali mengenai perkembangan persediaan bagi menjalankan prosiding dan sehingga kini kesemua yang terlibat berpuas hati.

Siasatan yang dijangka selesai dalam tempoh tiga bulan itu turut dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T. Selventhiranathan, Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik dan Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Saripuddin berkata dalam mesyuarat itu juga, suruhanjaya memutuskan bahawa pada hari pertama prosiding (Isnin), mereka akan membuat keputusan mengenai beberapa permohonan daripada keluarga Teoh yang diwakili peguam Karpal Singh dan kerajaan Selangor yang diwakili peguam Malik Imtiaz Sarwar.

Sementara itu, Karpal yang ditemui pemberita berkata pihaknya memohon suruhanjaya supaya meneliti kembali tarikh permulaan prosiding kerana beliau mempunyai kes yang lain.

Katanya, penubuhan suruhanjaya itu juga akan menimbulkan 'konflik penemuan' berikutan Peguam Negara telah mengemukakan semakan kehakiman terhadap keputusan Koroner dalam inkues Teoh yang lalu.

Permohonan semakan itu akan didengar di hadapan Hakim Datuk Mohtarudin Baki di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 17 Februari.

Mengenai senarai saksi, Karpal berkata pihaknya belum menerima maklumat jumlah yang akan dipanggil dan perkara itu akan diberitahu pada Isnin ini.

Pada 26 Januari lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan suruhanjaya itu atas perkenan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan mengumumkan terma rujukan suruhanjaya tersebut, iaitu: a) sama ada terdapat apa-apa ketidakwajaran dalam perjalanan siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia terhadap Teoh berhubung Perintah-perintah Tetap dan amalannya serta untuk mengesyorkan sebarang tindakan sesuai yang patut diambil, jika perlu; dan b) membuat siasatan tentang kematian Teoh dan keadaan yang menyelubungi dan membawa kepada kematiannya.

Turut hadir di mahkamah termasuk peguam Gobind Singh Deo yang mewakili keluarga Teoh dan adik perempuan Teoh, Lee Lan. - BERNAMA

Artikel Lain