suria

SUK Selangor Angkat Sumpah Selepas Format Mesyuarat Exco Disusun Semula: MB

SHAH ALAM: Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Mohamad Khusrin Munawi akan dibenarkan mengangkat sumpah simpan rahsia, bagaimanapun hanya selepas kerajaan negeri menyusun semula format mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pindaan terhadap format mesyuarat itu perlu kerana anggota Exco mahu mengadakan perbincangan secara bebas dan tidak terbatas mengenai perkara tertentu.

Beliau berkata mesyuarat Exco mungkin dibahagikan kepada dua, dengan satu segmen hanya dihadiri anggota Exco.

"Mohamad Khusrin akan hanya dibenarkan mengangkat sumpah simpan rahsia sebaik sahaja kami susun semula format proses membuat keputusan dalam majlis eksekutif.

"Kami berpendapat ada perkara-perkara yang kami perlu selesaikan, terutamanya membabitkan pelantikan pegawai-pegawai kanan, di mana anggota bukan ex-officio, iaitu Exco, mahu mengadakan perbincangan secara bebas dan tidak terbatas.

"Misalnya, kami berpendapat perkara berkaitan kenaikan pangkat orang hanya patut dibincangkan di kalangan anggota Exco," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di sini.

Abdul Khalid berkata Mohamad Khusrin kemungkinan besar akan mengangkat sumpah minggu depan.

Ditanya sama ada cadangan memecahkan kepada dua bahagian mesyuarat Exco mungkin akan menjejaskan prestasi Mohamad Khusrin, Abdul Khalid menjawab: "Khusrin akan dapat menjalankan tugas dengan baik kerana beliau tidak akan menghadiri mesyuarat yang tidak perlu." Menteri Besar sebelum ini mempertikaikan pelantikan Mohamad Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri berkuatkuasa 1 Januari oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, menyatakan beliau tidak dirundingi sebelum pelantikan itu.

Berikutan itu, kerajaan negeri Selangor pimpinan pakatan pembangkang mengadakan sidang khas Dewan Undangan Negeri untuk meminda Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor tetapi gagal memperoleh majoriti dua pertiga yang diperlukan.

Kerajaan negeri menyatakan cadangan pindaan itu bagi mengembalikan semula kuasa kepada sultan dan menteri besar dalam pelantikan tiga jawatan awam di negeri itu iaitu setiausaha kerajaan negeri, pegawai kewangan negeri dan penasihat undang-undang negeri.

Dalam perkembangan lain, Abdul Khalid berkata kerajaan negeri akan menganjurkan kursus untuk pelajar Malaysia berasal dari Selangor yang pulang dari Mesir sehingga keadaan di negara itu kembali pulih seperti biasa.

Beliau berkata kursus percuma itu, dalam tempoh enam hingga 12 bulan, akan dimulakan dalam waktu terdekat dan bertempat di kampus Universiti Industri Selangor di Shah Alam dan Bestari Jaya.

Kursus itu ialah dalam bidang bahasa Arab dan Inggeris, komputer dan kewangan, katanya.

Abdul Khalid juga berkata, kerajaan negeri akan menyiapkan laporan lengkap mengenai aset air miliknya menjelang bulan depan, dalam usaha untuk mengambil alih industri air Selangor daripada empat syarikat konsesi.

Beliau berkata laporan itu turut mengambil kira aspek kejuruteraan dan teknikal bekalan dan pemprosesan air. - BERNAMA

Artikel Lain