suria

Shahidan Kassim Biayai Tiket 14 Warga Islam Kemboja Keluar Dari Mesir

SEPANG: Melihat kerajaan membawa keluar semua rakyat Malaysia yang berada di Mesir, Fikri Mohd Zain dan Shakirin Nasir hanya boleh berdoa supaya mereka tidak diapa-apakan oleh penunjuk perasaan di negara itu.

Berasal dari Kemboja, dua penuntut Universiti Al-Azhar itu sedar mereka terperangkap di negara itu ekoran ketiadaan wang untuk membeli tiket penerbangan ditambah pula kedutaan Kemboja tiada di negara itu untuk meminta bantuan bagi membolehkan mereka pulang ke negara asal.

Atas keperihatinan itu, bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim telah membelikan tiket untuk 14 penuntut Kemboja bagi membolehkan mereka pulang ke negara asal.

"Tiada kata yang boleh digambarkan saat diberitahu ada pihak yang sanggup menaja penerbangan balik ke negara asal kami. Tidak dapat digambarkan dengan kata-kata kegembiraan kami semua.

"Saya bersyukur kepada Allah dan berharap dapat berjumpa sendiri dengan individu yang menaja tiket kami untuk mengucapkan terima kasih," kata Fikri, 22, yang merupakan penuntut tahun dua pengajian Usuluddin.

Dalam pada itu, Shakirin, 22, yang mengambil jurusan Pengajian Islam dan Bahasa Arab berkata, walaupun tidak pasti akan menetap di Malaysia atau kembali ke negara asal, mereka tetap bersyukur dapat keluar dari kawasan bahaya.

"Dapat pulang adalah seperti mimpi. Kami ingat tiada lagi jalan keluar. Saya diberitahu individu yang membelikan tiket untuk kami pulang adalah orang penting. Semoga Allah merahmatinya," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata, beliau telah berjumpa dengan Timbalan Menteri Hal Ehwal Islam Kemboja, Zakaria Adam semasa seminar di Bangkok minggu lalu dan telah meminta bantuan Malaysia untuk menguruskan 50 pelajar Kemboja yang terperangkap di sana.

"Saya kemudiannya menghubungi kedutaan Malaysia di Mesir dan bertanya jika terdapat cara untuk membantu penuntut Kemboja di sana.

"Kebetulan Datuk Seri Shahidan adalah Pengerusi Yayasan Pok dan Kassim dan beliau berada di sana dan telah bermurah hati untuk menaja tiket untuk mereka," katanya.

Wan Mohamad berkata, pihaknya akan memberikan perlindungan kepada semua penuntut Kemboja itu di Institut Latihan Islam (ILIM) di Bangi sehingga tindakan selanjutnya.

Artikel Lain