suria

Lelaki Dipercayai Terlibat Dalam Lapan Kes Ragut Ditahan

PETALING JAYA: Seorang lelaki berusia 33 tahun yang disyaki terlibat dalam lapan kes ragut di sekitar Petaling Jaya, ditahan di Taman Maju Jaya, di sini, Rabu.

Penganggur yang mempunyai lima rekod jenayah lampau membabitkan dua kes ragut dan tiga berkaitan dadah itu ditahan di rumahnya pada pukul 10.15 pagi.

Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, polis kini menyiasat sama ada lelaki itu terlibat dalam kejadian ragut di Pangsapuri Permai di taman berkenaan yang menyebabkan seorang wanita maut selepas tiga hari koma.

"Lelaki itu ditahan satu kilometer dari lokasi kejadian Zabedah Abas, 46, diragut. Polis turut merampas motosikal lelaki itu selepas mendapati ia adalah motosikal curi," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di sini.

Zabedah, meninggal dunia 6 Februari lepas, setelah tidak sedarkan diri sejak tiga hari akibat terjatuh daripada motosikal selepas diragut di Taman Sri Manja pada 3 Februari.

Tun Hisan berkata hasil risikan, polis percaya terdapat seorang individu yang menyaksikan kejadian ragut itu dan beliau meminta saksi itu tampil atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662222 untuk membantu siasatan.

Sementara itu, beliau menafikan kawasan Taman Maju Jaya merupakan kawasan panas, tetapi tidak menolak ia adalah kawasan bermasalah.

Pada tahun lepas sebanyak enam kes ragut dilaporkan di kawasan itu dan polis telah mengadakan tiga sesi dialog bersama penduduk dalam usaha memerangi jenayah terutama ragut. - BERNAMA

Artikel Lain