suria

Kertas Siasatan Kes Rakyat Somalia Siap Tidak Lama Lagi

KUALA LUMPUR: Kertas siasatan berhubung kes tujuh rakyat Somalia yang diberkas oleh anggota tentera Malaysia ekoran cubaan menawan sebuah kapal Malaysia di Teluk Aden pada 20 Januari lepas akan disiapkan tidak lama lagi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata, pihaknya kini sedang meneliti undang-undang yang sesuai bagi mendakwa rakyat Somalia itu.

"Kami sedang berbincang dengan pejabat Peguam Negara bagi meneliti jenis kesalahan yang boleh dikenakan...kita perlu tengok Seksyen mana yang boleh digunakan," katanya kepada pemberita di Bukit Aman di sini hari ini.

Tujuh rakyat Somalia itu kini ditahan reman enam hari sehingga 12 Februari.

Dalam kejadian pada pukul 11.40 malam 20 Januari lepas, anggota tentera Malaysia yang ditugaskan memberi pelindungan kepada kapal-kapal minyak dan dagang negara ini yang melalui perairan Teluk Aden dekat Somalia, telah menyelamatkan kapal MT Bunga Laurel yang ditawan oleh tujuh lanun dari Somalia itu.

Sementara itu, Bakri berkata polis akan membuat siasatan secara adil dan telus berhubung kes seorang wanita yang mendakwa ditampar polis sebelum mereka mengambil wang tunai RM20,000 dan barangan keperluan dari kedainya pada 3 Februari lepas.

"Kalau ada salah laku, kami tidak akan diamkan kerana kita bertugas untuk masyarakat," katanya.

Dalam kejadian itu, Chow Soo Meng, 36, mendakwa lebih kurang 10 anggota polis memasuki kedainya di Jalan Perkhidmatan, Kampung Baru Sungai Buloh, kira-kira pukul 6.30 petang Isnin itu.

Wanita berkenaan membuat laporan polis mengenai kejadian itu di balai polis berhampiran.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, anggota dan pegawainya ke kedai itu bagi menyiasat dakwaan terdapat aktiviti penjualan dadah.

Beliau berkata, seorang lelaki melarikan diri selepas melihat kehadiran polis dan pihaknya terpaksa membuka pintu jeriji kedai itu selepas pengadu enggan membukanya dan hasil siasatan, polis menemui rokok dan arak yang tidak dibayar cukai.

Arjunaidi turut menafikan pihaknya mencuri wang seperti didakwa wanita berkenaan sebaliknya wang itu disimpan untuk siasatan yang masih berjalan. - BERNAMA

Artikel Lain