suria

Kelantan Beri Jaminan Tidak Naik Tarif Air

KOTA BARU: Kerajaan Negeri Kelantan memberi jaminan tidak akan menaikkan tarif air.

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika memberikan jaminan itu berkata, kerajaan negeri sepatutnya menaikkan tarif air pada Oktober tahun lalu.

Bagaimanapun setelah mengambil kira bebanan yang ditanggung rakyat ekoran kenaikan beberapa barangan lain antaranya petrol, kerajaan negeri membuat keputusan tidak akan menaikkan tarif air, katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini, Rabu.

Menteri Besar bagaimanapun tidak mengulas lanjut mengenai tempoh jaminan kerajaan negeri untuk tidak menaikkan tarif air itu.

"Kita akan berusaha bersungguh-sungguh untuk tidak menaikkan tarif air, walaupun kita mengakui bahawa kita memikul bebanan yang berat kerana untuk pam air ke tangki memerlukan penggunaan elektrik dan untuk menyalurkan bekalan air yang bersih perlu menggunakan klorin, yang kos kedua-duanya juga telah meningkat," katanya.

Mengenai isu debat berhubung kenyataannya yang didakwa merosakkan akidah serta memecahbelahkan umat Islam di negara ini, Mursyidul Am PAS itu menjelaskan kesediaannya untuk berdebat dengan "individu berkuasa" merujuk kepada Menteri Besar di peringkat negeri dan Perdana Menteri di peringkat pusat.

"Kalau ada orang nak berdialog dengan saya mengenai Islam, saya nak orang berkuasa, tidak orang biasa...kalau dalam negeri Menteri Besar, kalau pusat Perdana Menteri," katanya.

Baru-baru ini, akhbar melaporkan kesediaan Nik Abdul Aziz untuk berdebat dengan mana-mana pihak berkuasa termasuk Majlis Fatwa Kebangsaan.

Bagaimanapun, semalam Nik Abdul Aziz menafikan beliau mahu berdebat dengan Majlis Fatwa Kebangsaan berhubung beberapa kenyataannya itu sebaliknya berkata beliau hanya bersedia berdebat dengan pihak berkuasa yang lain dan bukan dengan Majlis Fatwa Kebangsaan, tetapi tidak menjelaskan siapa sebenarnya pihak berkuasa itu. - BERNAMA

Artikel Lain