suria

Rasuah: Shariff Jajang Diperintah Bela Diri

KLANG: Bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohd Shariff Jajang diperintahkan untuk membela diri atas tuduhan rasuah menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan kira-kira 1.2 hektar tanah di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, dekat sini, 14 tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Yong Zarida Sazali membuat keputusan itu pada Selasa, selepas berpuas hati bahawa pihak pendakwaan berjaya menimbulkan prima facie untuk dijawab oleh Mohd Shariff, 67, terhadap pertuduhan.

Beliau seterusnya menetapkan 4, 6, 7 dan 8 April depan untuk Mohd Shariff yang pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil pada tahun 1995 berbuat demikian.

Keputusan itu dibuat selepas Yong Zarida mendengar keterangan yang diberikan oleh 32 saksi pendakwaan.

Mohd Shariff didakwa menggunakan kedudukannya sebagai ADUN untuk mengambil bahagian dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tanah Daerah Sepang yang memperakukan permohonan Lesen Menduduki Sementara tanah kepada Institut Kemahiran Memandu Sepang Sdn Bhd (IKMAS) iaitu anak syarikat Konsortium Sepang Berhad (KSB) dengan dia mempunyai kepentingan di dalamnya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 16 Jun 1997 di bilik mesyuarat Pegawai Daerah, Pejabat Daerah dan Tanah Sepang, Sepang.

Tertuduh didakwa di mahkamah untuk kali pertama pada 2004.

Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 2(1) Ordinan No.22 (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1970 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Zulkarnain Hassan dan Mohd Baharuddin Ahmad manakala pada prosiding Selasa, tertuduh diwakili oleh peguam Badrul Munir Bukhari.

Kes terhadap Mohd Shariff merupakan antara kes terawal oleh Badan Pencegahan Rasuah (BPR) yang mendapat liputan meluas media.

Mohd Shariff yang sinonim dengan pakaian berwarna hijau pernah menjawat jawatan sebagai setiausaha sulit Timbalan Menteri Pertanian pada 1980 dan juga Ketua Bahagian Umno Sepang pada 1986 sehinggalah didakwa di mahkamah.

Beliau dilantik sebagai Ketua Penerangan Umno Selangor pada 1990 dan memenangi pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil pada tahun 1995 dan dilantik sebagai Pengerusi Tetap Portfolio Infrastruktur, Penerangan dan Tanah Rezab Melayu pada 1997.

Difahamkan IKMAS masih beroperasi di Bandar Baru Salak Tinggi dan pada masa kejadian, Mohd Shariff dan isterinya, Datin Patimah Isa serta dua anak, Shahrum dan Shahrin memiliki sejumlah 1.36 peratus saham dalam KSB.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain