suria

Polis Johor Tumpaskan Geng Alip

JOHOR BARU: Polis berjaya menumpaskan geng "Alip" yang dipercayai terlibat dalam 21 kes samun di sekitar bandar raya ini dengan penahanan enam lelaki di sebuah rumah di Skudai Kiri, di sini, Isnin.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, kesemua mereka yang dipercayai aktif melakukan samun sejak tiga bulan lepas ditahan kira-kira pukul 12.20 tengah hari.

"Polis merampas pelbagai barangan yang dipercayai hasil samun di dalam rumah itu termasuk satu komputer riba, tiga telefon bimbit, wang tunai RM500, wang tunai Singapura SD79, tiga kad pengenalan dan dua lesen memandu.

"Turut dirampas empat kad ATM, empat buku bank, 15 beg pelbagai jenis dan saiz, satu kamera digital, sebuah motosikal jenis kawasaki, sebuah kereta jenis Toyota Camry dan sebuah kenderaan pacuan empat roda," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, hari ini.

Beliau berkata, polis turut menemui dua paket kecil dipercayai berisi dadah jenis syabu dan pemeriksaan air kencing ke atas kesemua suspek mendapati mereka positif dadah.

Katanya, tiga daripada mereka mempunyai rekod mencuri kenderaan, samun, melarikan diri dari Asrama Akhlak Bukit Senyum dan peras ugut.

Kesemua mereka yang berumur 19 hingga 26 tahun itu kini direman seminggu untuk siasatan, katanya.

Dalam kes berasingan, Mohd Mokhtar berkata polis menahan seorang lelaki pada Selasa lepas, yang dipercayai terlibat dengan 43 kes samun bersenjata di sekitar bandar raya ini dan Kulaijaya sejak lima bulan lepas.

Beliau berkata, lelaki berumur 30 tahun itu ditahan di Stulang Laut, di sini, pada pukul 1.30 tengah hari dan polis merampas sepucuk pistol jenis revolver .38 bersama lima butir peluru daripadanya.

"Semakan rekod mendapati lelaki itu mempunyai empat rekod samun pada tahun 2001 dan 2009 serta pernah ditahan mengikut Ordinan Darurat selama dua tahun pada 2002," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain