suria

Pengawal Keselamatan Didakwa Rogol Murid Dalam Tandas Sekolah

SHAH ALAM: Seorang pengawal keselamatan di sebuah sekolah rendah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa, atas tuduhan merogol murid Tahun Lima tempat dia bertugas.

Sthamsthol Bahri Sulaiman, 43, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan merogol mangsa yang berusia 11 tahun 10 bulan di dalam tandas perempuan di sekolah yang terletak di Batang Kali, Hulu Selangor, dekat sini.

Tertuduh yang beralamat di Kampung Padang Ulu Yam Bharu, Hulu Selangor didakwa melakukan kesalahan itu pada pukul 8 pagi, 22 Januari lalu.

Lelaki bertubuh kecil itu didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Asma Nadiah Abd Rahman menawarkan jaminan RM12,000 terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh dengan bermodalkan kesusahan keluarga merayu agar mahkamah mengunakan budi bicaranya untuk mengurangkan jumlah tersebut.

“Saya mempunyai pendapatan yang kecil, iaitu RM800 sebulan dan perlu menjaga dua orang tua yang uzur.

“Isteri saya tidak mempunyai pekerjaan dan kami mempunyai seorang anak yang kecil,” katanya.

Hakim Hasbi Hasan membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 1 Mac depan.

Hasbi juga memerintahkan tertuduh untuk melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan tidak menganggu atau menghubungi mangsa.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain