suria

TUDM Lakukan 18 Penerbangan Pergi Balik Pindahkan Pelajar Dari Mesir

JEDDAH: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sehingga kini melakukan 18 penerbangan pergi balik dari Jeddah ke Mesir dalam misinya untuk memindahkan pelajar Malaysia dari Kaherah dan Iskandariah, kata Ketua Misi, Kol Abdul Mutalib Wahab.

Pada hari ini, katanya tiga penerbangan pergi balik akan dilakukan iaitu dua penerbangan bagi Iskandariah-Jeddah dan satu bagi Kaherah-Jeddah, katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Semasa ditanya sama ada pada Isnin merupakan hari terakhir operasi pemindahan itu, beliau berkata terpulang kepada Majlis Keselamatan Negara untuk membuat keputusan.

Bagaimanapun, beliau berkata krew tiga pesawat Hercules C-130 berada dalam keadaan siap siaga dan tunggu sedia sekiranya mereka perlu meneruskan proses pemindahan itu.

Katanya sehingga kini, pasukan yang beliau ketuai itu bersemangat tinggi untuk berkhidmat dalam situasi yang sangat mencabar dan beliau sentiasa memastikan juruterbang serta krew mendapat rehat yang cukup untuk memberi khidmat terbaik.

Setiap pesawat mempunyai tiga set krew dan juruterbang memandangkan berdasarkan peraturan penerbangan, seseorang juruterbang hanya boleh menerbangkan pesawat bagi tempoh maksimum 12 jam.

Abdul Mutalib berkata pasukannya terdiri daripada dua skuadron Hercules C-130, 14 Skuadron dari pangkalan udara Labuan dan 20 Skuadron dari pangkalan Subang, yang memulakan operasi mereka sejak 4 Februari.

Beliau sebelum ini berkata sesebuah pesawat boleh membawa sejumlah 200 penumpang dalam operasi itu dan setiap pesawat dijangka melakukan tiga penerbangan pergi balik sehari.- BERNAMA

Artikel Lain