suria

Rais: Miri Tumpuan Utama Penganjuran Program Kebudayaan Dan Kesenian

MIRI: Sarawak, khususnya bandar raya Miri akan menjadi tumpuan utama bagi penganjuran program kebudayaan dan kesenian pada masa akan datang, berikutan sambutan hangat di majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina peringkat kebangsaan di sini malam Ahad.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata lebih 20,000 pengunjung membanjiri Dataran Kipas di sini malam tadi telah memberi petunjuk positif bandar raya peranginan ini sesuai menjadi tuan rumah penganjuran program kebudayaan dan kesenian.

"Sambutan majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina di Miri yang pertama kali diadakan di luar Semenanjung Malaysia merupakan yang terbaik pernah diadakan.

"Sarawak, khususnya bandar raya Miri dihadiahkan persekitaran yang kondusif untuk penganjuran program dan majlis kebudayaan dan kesenian bagi menarik pengunjung ke sini.

"Kementerian akan melihat pada masa akan datang agar gagasan 1Malaysia akan diterjemahkan dalam bentuk seperti (Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baru Cina) di Miri," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan sambutan majlis itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merasmikan majlis rumah terbuka itu yang dianjurkan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan dan kerajaan negeri Sarawak.

Miri berkeluasan 997.43 km persegi diiktiraf sebagai bandar raya pada 20 Mei 2005, mempunyai penduduk pelbagai kaum dan etnik. - BERNAMA

Artikel Lain