suria

Pengusaha Kedai Lusuh Maut Ditembak, Dua Lagi Cedera Dalam Kejadian Rompak

TAIPING: Seorang peniaga barangan lusuh mati ditembak dalam satu rompakan di Jalan Barrack, di sini pagi ini, manakala dua lagi cedera akibat dipukul dalam kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Taiping, ACP Yusof Mohd Diah berkata K.Pitchai, 71, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian dada dan kepala, manakala yang tercedera dalam kejadian itu ialah M.Palsamy, 67, dan S.Subramaniam, yang berumur sekitar 60-an.

Beliau berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 6.45 pagi apabila tiga lelaki yang menutup sebahagian daripada muka dengan kain, menyerbu masuk ke kawasan ruang niaga Pitchai.

Bercakap kepada pemberita di sini pada Isnin Yusof berkata, seorang daripada suspek kemudiannya melepaskan dua das tembakan ke arah kepala dan dada Pitchai selepas berlaku pergelutan, dan Pitchai terus rebah.

Menurutnya Palsamy dan Subramaniam pula dipukul dengan benda keras dalam kejadian itu, manakala seorang lagi lelaki yang berumur sekitar 60-an yang turut berada di tempat kejadian ketika itu, tidak dicederakan.

Yusof berkata ketiga-tiga suspek kemudian merampas wang tunai RM8,000 sebelum melarikan diri dengan sebuah kereta, dan polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kes bunuh yang disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Katanya mayat Pitchai dibawa ke Hospital Taiping untuk bedah siasat, manakala Palsamy dan Subramaniam turut dibawa ke hospital yang sama untuk menerima rawatan.

Beliau seterusnya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping dengan menelefon 05-8080222 untuk membantu siasatan.- BERNAMA

Artikel Lain