suria

Pemuda Gerakan Gesa Kerajaan Negeri Selangor Tidak Guna Wang Rakyat Biayai Shuhaimi

KUALA LUMPUR: Pemuda Gerakan meminta Kerajaan Negeri Selangor agar tidak menggunakan wang rakyat untuk membiayai kos guaman Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Muda Shuhaimi Shafiei yang didakwa atas tuduhan menghasut di Mahkamah Sesyen di Shah Alam, Isnin.

Ketua Pemuda Gerakan Kedah Tan Keng Liang berkata kos guaman tidak seharusnya ditanggung oleh rakyat di negeri-negeri yang diperintah parti pembangkang semata-mata untuk kepentingan politik.

"Kes berkenaan melibatkan tindakan peribadi seseorang individu dan bukannya membabitkan tindakan rasmi sebuah kerajaan negeri.

"Walaupun Suhaimi adalah anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR), ia tidak bermakna parti pembangkang boleh menggunakan wang rakyat untuk membiayai kos guaman untuk sebarang kes peribadi melibatkan anggotanya," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, Isnin.

Beliau merujuk kepada laporan media terhadap kenyataan oleh Sekretariat Akhbar Pejabat Menteri Besar Selangor pada 4 Februari lepas bahawa Kerajaan Negeri Selangor akan membiayai kos perundangan Adun Sri Muda itu.

Shuhaimi yang juga Timbalan Ketua Cabang PKR Kota Raja dituduh mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan berhubung satu entri dalam blognya yang didakwa telah menghina Sultan Selangor.

Entri tersebut antara lain didakwa mempertikai keputusan Sultan Sharafuddin Idris Shah memperkenan pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru.

Tan berkata kerajaan negeri tidak seharusnya bertindak mengambil alih fungsi badan kehakiman negara dalam sebarang kes atau mengeluarkan kenyataan yang bertujuan memberi kesan terhadap kes mahkamah terutamanya sekiranya ia melibatkan anggota parti pembangkang yang mempunyai kepentingan politik.

Katanya PKR seharusnya menggunakan wangnya sendiri untuk membantu Shuhaimi dan bukannya duit rakyat Selangor.- BERNAMA

Artikel Lain