suria

Lebih 400 Lagi Penuntut Malaysia Dijadual Pulang Pada Isnin

JEDDAH: Sejumlah 455 pelajar lagi dari Mesir yang ditempatkan di Pusat Transit Haji, Madinatul Hujjaj di sini dijadualkan pulang ke tanah air pada Isnin.

Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi Prof Datuk Syed Omar Al-Saggaf berkata sejumlah 355 pelajar akan berangkat pulang dengan pesawat khas Malaysia Airlines (MAS) pada pukul 4.00 petang ini waktu tempatan (9.00 malam waktu Malaysia) dan 100 orang lagi dengan penerbangan komersil MAS MH141 pada pukul 9.20 malam waktu tempatan.

"Esok seramai 1,215 pelajar akan dihantar pulang, 355 pelajar dengan pesawat khas MAS dan 860 orang akan pulang dengan pesawat Boeing 747 sumbangan (dipinjamkan) kerajaan Arab Saudi," katanya pada sidang media di sini, Isnin.

Beliau berkata pihak kedutaan berusaha untuk menghantar pulang para pelajar dengan segera memandangkan peningkatan pelajar yang tiba dari Mesir bagi memastikan keselesaan para pelajar terjamin.

Setakat hari ini pusat transit haji ini menempatkan 5,233 penuntut dari Mesir dan dengan penerbangan keluar 455 pelajar hari ini dan 1,215 orang lagi pada Selasa dijangka akan dapat meningkatkan keselesaan para pelajar di sini.

Artikel Lain