suria

Jika kita tahu...

DI SEBALIK segala kritikan yang dilemparkan ke atas misi menyelamatkan rakyat serta pelajar Malaysia di Mesir (yang dikatakan lambat bertindak), seluruh rakyat Malaysia sebenarnya harus mengangkat topi dan memberi tabik hormat kepada jentera kerajaan, pelbagai pihak lain yang terlibat dan pejabat Perdana Menteri.

Penulis mengikuti dengan penuh teliti perkembangan dari hari pertama Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Shahlan Ismail dihantar khas menuju ke Kaherah bagi mengkordinasikan penghantaran balik pelajar-pelajar kita yang berjumlah lebih 11,000 orang itu.

Shahlan yang penulis kenali secara peribadi sejak beliau menjadi pegawai khas Najib lagi, adalah seorang yang sentiasa merendah diri dan membuat kerja tanpa banyak bicara.

Dia telah berada di Kaherah sejak Isnin lalu. Perdana Menteri telah menghantar wakil dari pejabatnya ke sana terlebih dahulu - pertama untuk membolehkan beliau mendapat perkembangan terbaru secara peribadi dan secara langsung dan kedua bagi membolehkan urusan kordinasi dilakukan dengan lebih berkesan dan pantas dengan pihak berkuasa di sana.

Sehingga lewat Jumaat dan Sabtu, wartawan penulis masih berkomunikasi dengan beliau untuk mendapatkan perkembangan terkini dan beliau sentiasa memberikan kerjasama kepada pihak media selagi beliau boleh. Jadi adalah tidak benar untuk sesiapa sahaja dengan sewenang-wenangnya menuduh kerajaan kita lewat bertindak menghantar pasukan menyelamat ke Mesir.

Pendek kata dari Wisma Putera, Kementerian Pengajian Tinggi, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), jabatan dan agensi kerajaan yang terlibat sehinggalah kepada pihak swasta seperti Air Asia, Penerbangan Malaysia dan orang perseorangan dan pertubuhan bukan kerajaan - kesemuanya telah bertindak dan bergerak sebagai satu unit dalam usaha untuk memastikan rakyat kita selamat dibawa pulang.

Ya, kita boleh memahami keluh kesah ibu bapa dan ahli keluarga pelajar kita yang dengan lantang berkata kerajaan bertindak lambat dalam usaha membawa keluar rakyat kita dari Mesir. Siapa yang tidak bimbang akan keselamatan anak-anak lebih-lebih lagi pada zaman sekarang Astro boleh dikatakan dilanggan di setiap rumah dan ini membuka akses kepada maklumat terkini yang boleh diperolehi daripada kabel berita antarabangsa seperti CNN, BBC, Al Jazeera dan lain-lain stesen berita.

Namun apa yang menyedihkan dalam situasi begini ada parti politik yang ingin mengambil kesempatan dengan mengepalai sekumpulan ahli keluarga pelajar ke Wisma Putera Rabu lalu sehingga suasana taklimat yang diberikan oleh Timbalan Menteri Luar, Datuk Richard Riot bertukar menjadi tegang dan emosi kerana marah pelajar dan rakyat kita lewat dibawa keluar dari sana.

****

Dalam situasi begini, seandainya semua pihak tahu bagaimana operasi menyelamat ini dijalankan, nescaya tidak ada siapa pun yang akan menyalahkan mana-mana pihak atau cuba menangguk di air keruh. Orang menuduh kononnya Thailand dan Indonesia pantas menghantar pasukan menyelamat ke Mesir.

Hakikatnya, kedua-dua negara tersebut juga berhadapan dengan pelbagai rintangan dan kekangan untuk menghantar misi menyelamat ke Mesir sepertimana Malaysia juga.

Perlulah penulis nyatakan di sini misi menyelamat ini bukanlah semudah yang kita semua sangkakan. Pertanyaan pertama yang orang kebanyakan khususnya ibu bapa ajukan ialah kenapa tidak bawa keluar sekarang. Kenapa harus makan masa berhari-hari.

Jawapannya ialah untuk melaksanakan misi ini, kita bukannya boleh redah masuk ke Mesir begitu sahaja. Langkah pertama yang perlu kita buat ialah untuk mendapatkan hak mendarat di lapangan terbang antarabangsa Kaherah ataupun Iskandariah terlebih dahulu.

Pesawat yang kita hantar bukannya pesawat komersial yang mempunyai perjanjian antara dua buah negara untuk hak pendaratan tetapi ia adalah pesawat khas untuk satu misi khas. Prosedur dan dokumen yang perlu disediakan sangat rumit. Semua orang kena bayangkan, dalam negara yang mana anarki mengambil alih sistem dan peraturan, urusan rasmi menjadi sukar dan payah.

Tidak berapa lama dahulu, ketika sebuah negara jiran kita dilanda bencana (tsunami dan gempa bumi) negara kita melalui TUDM telah menghantar segera bantuan makanan dan minuman serta misi membawa keluar pelajar-pelajar kita dari sana. Wartawan kami yang berada bersama-sama pasukan menyelamat di dalam pesawat khas tersebut melaporkan, untuk mendapat lampu hijau mendarat, pesawat kita terpaksa menunggu berjam-jam lamanya.

Pesawat Hercules C130 TUDM yang hendak berlepas terpaksa berada di atas landasan di Pangkalan Udara TUDM Subang selama empat jam sementara menunggu isyarat kebenaran untuk berlepas dan mendarat di negara jiran itu. Selagi tidak mendapat isyarat tersebut, pesawat berkenaan tidak boleh berlepas.

Bila dah mendapat kebenaran mendarat, untuk membawa turun bekalan makanan dan minuman pasukan kita terpaksa berhadapan dengan satu lagi halangan iaitu mereka tidak dibenarkan membawa turun bekalan tersebut.

Dan apabila ia telah berjaya dipunggah turun dari pesawat, bekalan-bekalan yang kita bawa termasuk untuk pelajar-pelajar kita yang kelaparan ‘dikuarantin’ pula di dalam sebuah bilik seumpama setor untuk beberapa waktu lagi sehinggalah akhirnya (mungkin dengan kuasa ajaib dari langit) pelajar kita dapat juga menjamah makanan dan juga bekalan air bersih. Itu kita bercakap urusan rasmi yang perlu kita hadapi dengan sebuah negara jiran yang boleh kita labelkan sebagai sahabat. Inikan pula sebuah negara asing seperti Mesir dan sedang berada dalam huru-hara.

****

Isu kedua, yang kita semua harus faham dalam misi menyelamat pelajar-pelajar kita di Mesir ini, selain daripada soal mendapat hak pendaratan untuk pesawat kita juga berhadapan dengan jumlah pelajar kita yang sangat besar iaitu lebih 11,000 orang.

Ini bukan macam misi membawa pulang 300 orang pelajar perubatan Malaysia di Sumatera Barat yang terkandas akibat gempa bumi pada Oktober 2009 tetapi ini adalah soal membawa pulang beribu-ribu pelajar dan rakyat kita yang terkandas beribu kilometer jauh dari tanah air. Barang diingat juga, armada laut dan udara kita bukanlah sepertimana yang kita semua bayangkan lewat filem Hollywood - Behind Enemy Lines.

Kita tidak ada kapal pengangkut pesawat yang dapat mengangkut 5,000 kelasi kapal dalam satu-satu masa. Kita juga tidak ada beratus-ratus pesawat pengangkut untuk membawa pulang rakyat yang seramai itu serentak.

Sebuah pesawat Charlie C130 TUDM hanya mampu mengangkut kurang lebih 200 orang penumpang pada satu-satu masa dan kita hanya mampu menghantar tiga buah pesawat berkenaan ke Kaherah manakala pesawat A320 Air Asia boleh menampung 180 orang dan Boeing 747 milik Mas 350 orang.

Itu pun setelah enam pesawat kita berjaya mendapat hak pendaratan di Kaherah dan Iskandariah, kita telah berjaya membawa keluar hampir 9,000 orang rakyat kita antara hari Khamis, Jumaat dan Sabtu ke medan selamat di Jeddah. Bagaimana pasukan menyelamat kita mampu melakukannya adalah di luar imaginasi kita - seolah-olah seperti mereka yang menjalankan misi itu tidak tidur, tidak mandi, tidak makan dan tidak rehat langsung. Apa pun mereka dapat melakukannya dengan pantas dan berjaya.

Setiap pesawat kita melakukan tiga kali penerbangan pergi balik dari Kaherah-Jeddah-Kaherah dan dari Iskandariah-Jeddah-Iskandariah setiap hari. Ini belum termasuk kapal TLDM KD Bunga Mas 5 yang sedang menuju ke Iskandariah dari Teluk Aden bersama sebuah lagi kapal milik MISC.

Dan akhir sekali, yang semua orang di tanah air mungkin lupa dan tidak sedar ialah jika tidak kerana hubungan erat dan baik antara kerajaan kita dengan Arab Saudi, misi ini bukan sahaja menjadi sukar kerana jarak antara Mesir dan Malaysia yang jauh tetapi juga mungkin kita tidak akan dapat membawa keluar rakyat kita secepat dan seramai yang dapat kita lakukan sekarang.

Apabila Kerajaan Arab Saudi dengan pantas memberikan hak pendaratan kepada pesawat khas yang kita terbangkan ke Kaherah, segala-galanya menjadi mudah dan teratur.

Ini kerana kita mempunyai pejabat Tabung Haji di sana dan asrama jemaah haji yang dapat menampung keperluan petempatan pelajar dan rakyat kita sementara menunggu dibawa pulang ke tanah air.

Kesimpulannya kita rakyat Malaysia hanya pandai mengkritik tanpa mahu berfikir panjang logika di sebalik kritikan yang kita lemparkan itu. Jentera misi menyelamat kita wajar mendapat pengiktirafan dan penghormatan daripada setiap seorang kita rakyat Malaysia.

Artikel Lain