suria

Dua Beradik Dipenjara Lapan Tahun Kerana Samun Bersenjata

KOTA BARU: Mahkamah Sesyen di sini menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun terhadap dua beradik selepas mengaku bersalah melakukan jenayah samun bersenjata pada November tahun lalu.

Hakim Irwan Suainbon menjatuhkan hukuman itu terhadap Wan Mohamad Nazri Wan Mat, 26, dan adiknya, Wan Mohamad Nazrul, 24, selepas mengaku melakukan perbuatan itu di Wakaf Baharu pada 14 November tahun lalu.

Irwan memerintahkan hukuman penjara itu bermula Isnin.

Mereka dituduh melakukan samun berkumpulan itu dengan bersenjatakan sebilah pisau di rumah mangsa, Ang Bee Tin, di Taman Sri Cenderong, Wakaf Baharu kira-kira pukul 12.30 tengah malam.

Kedua-dua beradik itu telah menyamun barang kemas, telefon bimbit, komputer riba dan beg tangan milik mangsa sebelum melarikan diri.

Selepas disamun, pengadu kemudiannya membuat satu laporan polis di balai polis berdekatan dan Wan Mohamad Nazrul ditangkap pada 15 November manakala adiknya sehari selepas itu.

Akibat kesalahan itu, kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 396 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan.

Kedua-dua tertuduh diwakili peguam Norizaidah Abdul Saman manakala pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Hamizah Ghazali.

Sebelum itu, Nor Hamizah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat terhadap adik beradik itu yang kini sedang menjalani hukuman penjara selama 30 bulan atas kesalahan jenayah yang lain.

"Kedua-dua tertuduh sekarang telah dipenjarakan oleh Mahkamah Majistret Tumpat atas pertuduhan bersama yang mereka hadapi berkaitan Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

"Ini adalah kesalahan yang amat serius dan boleh membahayakan nyawa mangsa kerana senjata yang digunakan malah kejadian samun semakin banyak berlaku sekarang," katanya.

Norizaidah ketika membuat rayuan memohon agar hukuman minimum diberikan memandangkan masing-masing sudah beristeri dan hanya bekerja sebagai pembantu kedai makan.- BERNAMA

Artikel Lain