suria

Badrul Hisham Peroleh Injuksi Sementara Terhadap SPR

SHAH ALAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah berjaya memperoleh perintah injuksi sementara (interim) bagi menghalang Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) daripada membincangkan status kerusinya yang telah diisytiharkan kosong oleh Speaker Selangor.

Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Zaleha Yusof membenarkan supaya perintah injunksi sementara itu berkuat kuasa pada petang Isnin, sehingga mahkamah mendengar saman pemula yang difailkan oleh Badrul Hisham pada 17 Februari ini.

Pendengaran permohonan tersebut dibuat di dalam kamar dan Badrul Hisham diwakili oleh peguam-peguam Datuk Hafarizam Harun dan Firoz Jamaluddin manakala Peguam Kanan Persekutuan Datuk Kamaluddin Md Said mewakili SPR yang dinamakan sebagai defendan.

Pihak media yang menunggu di mahkamah sejak pukul 2.30 petang dimaklumkan mengenai keputusan itu pada pukul 6.30 petang oleh Hafarizam.

Badrul Hisham, 51, yang memenangi kerusi N46 tersebut atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihanraya Umum 2008 memfailkan permohonan untuk mendapatkan perintah injunksi sementara pada 28 Januari lalu.

Permohonan itu difailkan bagi menghalang SPR untuk mengambil sebarang langkah atau tindakan untuk menentukan terdapat kekosongan pada kerusi DUN itu selepas Speaker Selangor, Teng Chang Khim mengistiharkan kekosongan dalam satu sidang media yang diadakan pada 19 Januari lalu.

Pengisytiharan tersebut dibuat atas dakwaan bahawa Badrul Hisham yang telah keluar daripada PKR pada Oktober 2009 dan menyertai UMNO pada Mei 2010 telah gagal untuk menghadiri sidang DUN selama enam bulan berturut-turut tanpa alasan yang munasabah mengikut Perkara 69 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959.

Pada 24 Januari lalu, Badrul Hisham memfailkan permohonan saman pemula di Mahkamah Tinggi untuk mendapatkan deklarasi bahawa beliau masih lagi ADUN Pelabuhan Klang yang sah dan berhak untuk menghadiri sidang DUN Selangor.

Beliau menamakan Teng sebagai defendan pertama dalam saman tersebut dan diikuti oleh SPR selaku defendan kedua.

Dalam saman pemula itu, Badrul Hisham juga memohon deklarasi bahawa pengisytiharan yang dibuat oleh Teng adalah ultra vires (melampaui batas undang-undang) Artikel 69 dan adalah salah serta tidak sah.

Artikel Lain