suria

Akta 672 Dikuat Kuasa April Walaupun Ada Negeri Tidak Setuju

ALOR SETAR: Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 atau Akta 672 dijangka mula dikuatkuasakan April depan walaupun terdapat negeri yang tidak menerima dasar penswastaan pengurusan sistem pepejal yang ditetapkan kerajaan pusat.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Chor Chee Heung berkata apabila akta itu dikuasakan barulah kerajaan dapat menguatkuasakan pelaksanaan penswastaan perkhidmatan kutipan sisa pepejal isi rumah dan pengambilalihan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan sepenuhnya dan dijalankan berdasarkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) di seluruh Semenanjung.

Katanya penswastaan perkhidmatan kutipan sisa pepejal ketika ini yang telah diputuskan kerajaan sejak 15 tahun lalu, masih berada di tahap interim yang menyebabkan ia berhadapan dengan pelbagai masalah dan kekangan.

"Bila Akta 672 dikuatkuasakan, kita akan ada KPI yang turut melibatkan pemantauan yang berterusan oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam. Waktu itu pengurusan sisa pepejal akan dijalankan dengan lebih lancar dan diyakini semua rakyat.

"Ketika ini saya terima banyak aduan mengenai masalah pengurusan sisa pepejal. Saya minta jasa baik kerajaan-kerajaan negeri untuk terima keputusan yang ditetapkan 15 tahun lepas, iaitu penswastaan pengurusan sisa pepejal.

"Kita mahukan sistem yang seragam dan lebih sistematik," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kompaktor baru syarikat Environment Idaman (E-Idaman) Sdn Bhd dan penyerahan tong sampah baru kepada PBT Kedah di sini Isnin.

Katanya ketika ini, tiga negeri belum menerima penswastaan pengurusan sisa pepejal itu tetapi beliau enggan menyatakan negeri-negeri itu.

Chor berkata pelaksanaan penswastaan pengurusan sistem pepejal itu yang ketika ini pada peringkat interim menyebabkan prestasi tiga syarikat konsesi yang diberikan tanggungjawab itu - Alam Flora Sdn Bhd (Wilayah Tengah), E-Idaman (Wilayah Utara) dan Southern Waste Management Sdn Bhd (Wilayah Selatan) - tidak begitu baik dan berhadapan dengan banyak masalah terutama masalah pembayaran.

"Jika akta itu dikuatkuasakan, syarikat terbabit boleh menguruskan kewangan mereka dengan lebih baik dan PBT dapat kembali kepada perniagaan teras mereka iaitu menjaga keindahan bandar, kutipan cukai taksiran dan lesen-lesen. Tugas PBT juga lebih ringan dan dapat perbaiki prestasi mereka," katanya.

Katanya ketika ini banyak PBT tidak mampu untuk membayar kepada syarikat konsesi, menyebabkan kerajaan pusat terpaksa menanggung kos yang tinggi bagi pelupusan sisa pepejal.

"Ia merupakan perniagaan yang merugikan. Hutang PBT dengan kerajaan pusat sahaja kini berjumlah RM384 juta. Terdapat 103 PBT di seluruh Semenanjung. Hanya sebahagian kecil PBT mampu memberikan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dengan baik," katanya.

Katanya apabila akta itu dikuatkuasakan, pembayaran bagi perkhidmatan pelupusan sisa pepejal diambil daripada sebahagian cukai taksiran yang dibayar ketika ini.

Beliau berkata menerusi Akta 672, orang ramai juga diwajibkan mengasingkan sampah-sampah mengikut kategori sebelum meletakkan sampah di luar rumah bagi menjayakan program 3R (mengurang, mengguna semula, mengitar semula).

"Bagaimanapun kita tidak akan terus kuatkuasakan perkara ini. Akta ini baru, kita beri dua tahun untuk 3R diterima sepenuhnya dan barulah kita boleh kuatkuasakan sepenuhnya peraturan itu.

"Sebenarnya ia boleh buat duit kerana ada barang boleh dijual," katanya.

Chor juga berkata kementerian itu sedang dalam proses membina lima insinerator di seluruh negara iaitu di Pulau Langkawi, Pulau Pangkor, Pulau Tioman, Labuan dan Cameron Highlands.

"Yang paling cepat siap adalah di Langkawi dan Pangkor. Ini merupakan perancangan masa depan kerana kita tidak mahu lagi bergantung kepada pusat pelupusan sampah (landfill).

"Kita kena ikut negara-negara maju, yang tidak lagi bergantung kepada landfill. Kita akan perkenalkan peranan insinerator kepada umum. Insinerator di Langkawi nanti mampu merawat dan melupus 100 tan sisa pepejal sehari," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain