suria

Ahmad Said Gesa Pelajar Terengganu Pulang Dari Mesir

HULU TERENGGANU: Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said meminta pelajar Terengganu yang masih berada di Mesir agar segera pulang ke tanah air kerana dikuatiri berlaku gelombang kedua rusuhan di negara itu.

Beliau berkata pelajar yang enggan pulang berhadapan dengan pelbagai risiko dan mereka perlu menanggungnya sendiri jika berlaku kejadian yang tidak diingini ke atas mereka.

"Sekali lagi kita rayu pulanglah, walaupun keadaan rusuhan di sana nampak reda," katanya kepada pemberita pada majlis pembahagian e-book kepada 602 murid Tahun Lima di Kuala Berang di sini, Isnin.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Timbalan Menteri Luar, Senator A. Kohilan Pillay bahawa terdapat kira-kira 2,000 pelajar dari Malaysia di Mesir yang enggan pulang ke tanah air kerana berada di zon selamat dan jauh daripada tempat pergolakan.

Ahmad berkata kerajaan negeri masih belum mendapat maklumat tentang jumlah ramai pelajar Terengganu yang turut tidak mahu pulang.

Katanya mengikut rekod terdapat 564 orang pelajar Terengganu di bawah tajaan Yayasan Terengganu dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu di Mesir.

Kebanyakan mereka belajar dalam bidang perubatan/pergigian dan pengajian Islam dibeberapa buah universiti di Mesir seperti universiti al-Azhar, Tanta, Iskandariah, Mansoura, Zagazig dan Shoubra.

Ahmad berkata kerajaan negeri telah menghantar tiga orang pegawai ke Mesir Sabtu lalu untuk membawa pulang pelajar Terengganu.- BERNAMA

Artikel Lain