suria

Sedia Pelan Alternatif Untuk Penuntut Sambung Pengajian - GPMS

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran menyediakan pelanalternatif kepada pelajar Malaysia yang menuntut di Mesir bagi menyambung pengajian di negara ini sekiranya krisis di negara berkenaan masih tidak berkesudahan.

Penasihat Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Datuk Reezal Merican Naina Merican berkata ini berikutan pelajar-pelajar itu sekarang tidak boleh lagi mengharapkan orang lain melainkan kerajaan Persekutuan dalam situasi yang tidak menentu kini.

"Ada kemungkinan mereka tak dapat sambung pengajian di sana. Jadi kita minta kerajaan, khususnya Kementerian Pengajian Tinggi ambil inisiatif berunding dengan pihak universiti-universiti terbabit di Mesir, supaya boleh menangguhkan pembelajaran dan peperiksaan sebagai contoh.

"Kalau boleh berunding dengan mereka (universiti di Mesir) dan mohon pertimbangan ataupun inisiatif supaya penuntut menyambung pengajian di tanah air. Penuntut-penuntut kita perlu terus diberi harapan untuk sambung pengajian," katanya kepada Bernama di sini, Ahad.

Beliau mengulas laporan Bernama semalam bahawa terdapat pelajar yang mahu meneruskan pengajian di Mesir demi segulung ijazah, namun ada yang sanggup menyambung pengajian di tanah air sekiranya tidak ada jaminan keselamatan belajar di negara berkenaan.

Reezal Merican berkata inisiatif kerajaan itu penting kerana keadaan pada masa ini amat luar biasa dengan krisis dalaman negara berkenaan.

Menurutnya keadaan mungkin berbeza bagi penuntut tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) tetapi pelajar tajaan yayasan negeri dan tajaan sendiri berkemungkinan besar tidak tahu apa yang harus dilakukan mereka.

Menyoroti pengalamannya, beliau berkata keadaan itu pernah dialaminya semasa menyambung pengajian di Kuwait dalam satu program pengajian selepas Sijil Rendah Pelajaran (SRP) di mana negara teluk itu diserang Iraq dalam Perang Teluk pada 2 Ogos 1990.

Ketika itu, beliau dan tiga rakannya belajar dalam tahun tiga daripada empat tahun di peringkat menengah, dan empat tahun lagi di peringkat universiti.

Katanya, ketika pemindahan dilakukan mereka masih bercuti di tanah air dan dalam tempoh seminggu sebelum pulang ke Kuwait untuk pengajian seterusnya.

Menurutnya situasi itu sedikit berbeza kerana penghantaran pulang pelajar dan rakyat Malaysia hanyalah kira-kira 30 orang selain ia adalah peperangan sedangkan di Mesir, ia adalah krisis dalaman.

Berikutan situasi itu, Reezal Merican yang kini Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda Umno dan rakan lain meneruskan pengajian masing-masing di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) sehingga tamat pengajian.

Katanya seramai 11 pelajar yang mengikuti pengajian di Universiti Kuwait ketika itu menyambung pengajian di UIA, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Malaya dan kebanyakannya menyertai bidang akademik dan sudah mendapatkan ijazah doktor falsafah.

Beliau mengakui bahawa situasi di Kuwait 21 tahun lepas itu berbeza dengan sekarang (di Mesir) dengan jumlah pelajar yang ramai dan dari pelbagai jurusan.

Menurutnya pelajar dari Singapura dan selatan Thailand turut dibantu dalam proses evakuasi kerana kedua-dua negara jiran terbabit tidak mempunyai kedutaan di Kuwait. - BERNAMA

Artikel Lain